MAJLIS PROGRAM ISNEXT 2024

Bukit Jalil, 23 Oktober 2024: Yang Berhormat Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan hari ini menyempurnakan Majlis Perasmian Program ISNext 2024 anjuran Institut Sukan Negara (ISN) di Dewan Perdana, ISN.

Pelaksanaan majlis ISNext pada hari ini merupakan kesinambungan dalam usaha untuk terus memperkukuh dan memperkasakan ISN, membawa organisasi ini ke tahap yang lebih tinggi — to the next level — demi memastikan kejayaan sukan negara berterusan serta mencipta sejarah yang lebih gemilang.

Dalam ucapannya, YB Menteri Belia dan Sukan menegaskan bahawa ISN memainkan peranan besar sebagai pemacu utama dalam bidang sains, perubatan dan teknologi sukan dan bukan sekadar institusi sokongan tetapi sebagai game changer yang memperkenalkan pendekatan inovatif yang mengubah landskap sukan negara.

Selari dengan pendekatan a whole of government, Yang Berhormat Menteri memaklumkanISN kembali mengorak langkah dengan menjalani kolaborasi strategik  bagi menyediakan pusat penyediaan perkhidmatan, penyelidikan dan kepakaran di peringkat negeri/wilayah dan memberi pengiktirafankepada 4 universiti awam lagi pada tahun ini sebagai Pusat Satelit ISN iaitu :-

a) Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI);

b) Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam;

c) Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM Cawangan Perlis; dan

d) Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan, Universiti Malaysia Sabah (UMS)

Sebagai kesinambungan dalam memperkukuhkan lagi ekosistem sukan di Malaysia, ISN melihat perlunya peningkatan dalam aspek perkongsian ilmu, kepakaran melibatkan bidang penyelidikan dan pemanfaatan dalam bidang sains, perubatan dan teknologi serta inovasi dalam sukan, justeru wujudnya jalinan kerjasama strategik dengan beberapa pihak di dalam dan luar negara iaitu :-

  1. Komite Olahraga Nasional Indonesia Provinsi Jawa Timur
  2. MAHSA University
  3. IMU Education Sdn. Bhd. (International Medical University)
  4. Ara Damansara Medical Centre
  5. UKM Specialist Centre
  6. Rev Edition Sdn. Bhd.
  7. Amateur Football League
  8. GE Healthcare Sdn.Bhd.

Bersempena dengan penganjuran ISNext, ISN juga dengan berbesar hati mengumumkan menerima tajaan daripada Corporate Hero Century Sdn. Bhd. atau PACE berupa pakaian rasmi – jaket dan polo t-shirt kepada staf ISN dan tajaan pelbagai bentuk peralatan makmal, perabot serta kemudahan lain untuk menaik taraf makmal sains sukan daripada BMEC (Malaysia) Sdn. Bhd.

Yang Berhormat Menteri turut menyantuni usaha berterusan ISN dalam

memperkasakan ekosistem kejurulatihan sukan di Malaysia melalui penganjuran International Coaching Symposium 2024: Coaching and Beyond (ICS2024). Simposium yang bakal diadakan dari 9 hingga 11 November 2024 bertempat di Hotel Zenith Putrajaya, menyasarkan

penyertaan 200 peserta yang akan mengupas isu-isu kritikal, berkongsi pengalaman, pengetahuan dan inovasi kejurulatihan di peringkat global.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Team ISN (team behind the team) yang telah memberi sumbangan yang tidak ternilai dalam memastikan semua atlet berada dalam kondisi terbaik semasa Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024.

Adalah menjadi harapan ISN agar semua inisiatif-inisiatif ini dapat menambahbaik ekosistem sukan negara dari segi amalan terbaik, pembelajaran berterusan serta inovasi dalam sukan dalam melahirkan atlet yang bertaraf dunia serta menaikkan imej sukan di peringkat antarabangsa.

Turut hadir adalah barisan tertinggi KBS, Pengerusi dan Ahli Lembaga Institut, pihak penaja dan rakan strategik ISN.

Dikeluarkan oleh:

Cawangan Komunikasi KorporatInstitut Sukan Negara (ISN)