Bukit Jalil, 27 Mac 2025 – Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, hari ini telah merasmikan TASKA Team MAS yang bertempat di Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil. Inisiatif ini merupakan langkah signifikan dalam memperkukuh sokongan kebajikan kepada atlet, jurulatih, dan warga agensi sukan di KL Sports City.
Menurut YB Hannah Yeoh, TASKA Team MAS bukan sekadar sebuah pusat penjagaan kanak-kanak, tetapi satu simbol komitmen Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam membantu golongan atlet dan kakitangan sukan menyeimbangkan tuntutan kerjaya dan tanggungjawab keluarga.
Inisiatif ini adalah selari dengan usaha penambahbaikan kontrak atlet di bawah Program MSN pada tahun lepas, iaitu menggugurkan klausa bahawa atlet yang disahkan hamil adalah dianggap tidak layak mengikut pakej latihan tanpa mengira sama ada kehamilan itu menjejaskan keupayaannya atau tidak. Selain daripada itu, kontrak atlet juga telah ditambahbaik dengan memasukkan kelayakan cuti tahunan (7 hari) dan cuti kecemasan (7 hari). Cuti kecemasan ini boleh turut digunakan untuk tujuan cuti paterniti.
“Penubuhan TASKA Team MAS adalah bukti sokongan berterusan KBS terhadap pembangunan modal insan dalam sektor sukan. Dengan kemudahan yang selesa dan tenaga pengajar yang berkelayakan, kami yakin pusat ini dapat memberi ketenangan kepada ibu bapa untuk terus cemerlang dalam bidang masing-masing,” kata beliau.
TASKA Team MAS kini menempatkan 25 kanak-kanak dan mempunyai kapasiti maksimum sehingga 70 orang. Beroperasi dari Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 pagi hingga 7.00 malam, pusat ini menawarkan penjagaan kepada kanak-kanak berusia antara 2 bulan hingga 4 tahun.
Di bawah pengurusan ISN, TASKA ini dikendalikan oleh lapan orang staf terlatih dan mengadaptasi modul pembelajaran holistik yang merangkumi pembangunan sahsiah, sosioemosi, fizikal, kreativiti, serta literasi awal.
“Saya berharap TASKA Team MAS menjadi model rujukan bagi pusat jagaan kanak-kanak dalam sektor sukan dan terus memberikan manfaat kepada komuniti sukan negara,” tambah YB Hannah Yeoh.
Majlis perasmian ini turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha KBS.