MAJLIS PELANCARAN PROGRAM ‘BEYOND COACHING’ AKADEMI KEJURULATIHAN KEBANGSAAN.

Kuala Lumpur, 30 Mac 2021 – Institut Sukan Negara melalui Akademi Kejurulatihan Kebangsaan telah menganjurkan Majlis Pelancaran Program ‘Beyond Coaching’ yang berlangsung pada jam 11.00 pagi di Dewan Perdana, Institut Sukan Negara, Bukit Jalil.

Majlis Pelancaran Program ‘Beyond Coaching’ yang julung kalinya diadakan itu telah disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan Malaysia, YB Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican dengan diiringi oleh Pengerusi Lembaga Institut, YBhg. Profesor Dato’ Dr Rahmat Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara, YBrs. En. Ahmad Faedzal bin Md. Ramli.

Pelaksanaan program tersebut adalah seiring dengan Visi Sukan Negara (V30) sebagai perancangan dalam tempoh 10 tahun yang akan datang dengan memfokuskan kepada beberapa teras, antaranya pembudayaan sukan, kecemerlangan sukan, integriti dan governan, Malaysia sebagai hub sukan, TID (pengenalpastian dan pembangunan bakat) dan memacu industri sukan.

Justeru itu, bagi mencapai sasaran tersebut serta memperkasakan lagi peranan Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK) sebagai pusat kecemerlangan kejurulatihan sukan bertaraf antarabangsa, ISN memperkenalkan beberapa inisiatif baharu AKK, ISN dalam menjadi hub Pendidikan Kejurulatihan Kebangsaan yang lebih tersusun dan bersistematik yang merangkumi beberapa perkara iaitu:

1. Pelancaran Logo Baharu AKK

Sepertimana sedia maklum, AKK, ISN secara rasminya telah dipindahkan peranan dan tanggungjawab kepada pihak ISN pada Julai 2015. Semenjak ditubuhkan, AKK telah menggunakan logo yang sedia ada dan melalui inisiatif baharu ini ISN telah bersetuju untuk memperkenalkan logo baharu AKK bagi memberikan nafas baharu kepada AKK, ISN.

2. Pelancaran Program Pembelajaran Atas Talian AKK

AKK, ISN melalui inisiatif pendigitalan baharu ini akan memperkenalkan program pembelajaran secara atas talian kepada para jurulatih. Pendekatan ini digunapakai bagi mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 yang terus menular ketika ini dan melalui medium pembelajaran secara atas talian ia akan memberi peluang kepada para jurulatih untuk menimba ilmu dan pengetahuan secara maya tanpa perlu hadir kursus secarafizikal.

3. Pelancaran Malaysia Sports Coach Registry (MSCR)

Pihak AKK, ISN akan memperkenalkan satu system pendaftaran jurulatih yang diberi nama Malaysia Sports Coach Registry (MSCR) dimana ia berperanan sebagai satu hub bagi mengumpulkan data jurulatih-jurulatih berdaftar yang telah mempunyai Lesen Kejurulatihan di bawah satu sistem pendaftaran yang sistematik danberpusat.

4. Pelancaran Program Women Can Coach.

AKK, ISN juga turut memperkenalkan inisiatif Program Women Can Coach dimana ianya merupakan satu program khas bagi meningkatkan penglibatan wanita dalam bidang kejurulatihan melalui seminar dan kursus kejurulatihan khas bagi memperkasakan peranan wanita dalam ekosistem sukan negara.

5. Pelancaran Program Sports Coaching +

AKK, ISN dengan kerjasama beberapa Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) yang terpilih (pilot program course) iaitu Kesatuan Ragbi Malaysia, Konfederasi Hoki Malaysia, Persatuan Bola Jaring Malaysia dan Persatuan Bola Sepak Malaysia bagi menjayakan satu program khas yang diberi nama Sports Coaching +. Ini adalah inisiatif kepada para jurulatih yang mengikuti program ini ditauliahkan dengan Lesen Kejurulatihan di bawah Skim Pelesenan Kejurulatihan Kebangsaan (SLKK) sekiranya mereka berjaya lulus sepertimana kriteria dan penilaian yang telah ditetapkan.

6. Majlis Memeterai MoU/ Perjanjian (Universiti Malaya)

AKK, ISN memperkukuh inisiatif kolaborasi bersama institusi pengajian tinggi dalam bidang berkaitan sains sukan, perubatan sukan, penyelidikan dan pembangunan sukan melalui memorandum persefahaman (MoU) / perjanjian bersama Universiti Malaya dalam menjalankan Program Diploma Eksekutif yang akan memberi peluang kepada jurulatih-jurulatih yang berkelayakan untuk menyambung pelajaran dan menimba ilmu pengetahuan di dalam bidang kejurulatihan sukan.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh barisan pucuk pimpinan dari Kementerian Belia dan Sukan dan agensi–agensi dibawah naugannya, persatuan-persatuan sukan kebangsaan serta pihak pemegang taruh.

Bertitik tolak daripada itu, Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK) kini diberi kepercayaan penuh dalam membangunkan aspek pendidikan kejurulatihan sukan di negara ini supaya lebih tersusun dan berada di tahap yang tinggi serta diiktiraf di peringkat antarabangsa.

#TeamISN #TeamKBS #BeyondCoaching