Kuala Lumpur: Selepas sekian lama menanti akhirnya jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang berpeluang mencuba ‘senjata’ utamanya iaitu basikal model WX-R Vorteq yang sudah diujinya di dalam latihan.
Menurut Azizulhasni, dia sudah menguji basikal berkenaan ketika di dalam latihan dan tidak mempunyai banyak beza dengan versi terdahulu cuma lebih terarah kepada aspek sentuhan terakhir yang lebih terperinci.
“Jika versi lama berwarna hitam rata, versi terbaru ini anda harus tunggu dan lihat apabila saya turun beraksi di Tokyo nanti,” katanya pada sidang media Olimpik Tokyo 2020, hari ini. Menurutnya, sebanyak enam basikal model WX-R Vorteq akan dibawa ke Tokyo nanti dengan setiap seorang termasuk Shah Firdaus Sahrom akan diberikan dengan tiga basikal. “Sebenarnya dari segi rangka digunakan dalam latihan (versi lama) dan yang akan dibawa ke Olimpik nanti adalah sama. Cuma versi terakhir mungkin beza dari segi warna dan kualiti lebih mantap.
“Ia tidak lagi akan dilengkapi dengan power meter kerana dalam perlumbaan sebenar kita tidak perlu mengukur kelajuan dan memperoleh data seperti latihan, hanya tumpu kepada tujuan untuk memenangi perlumbaan.
“Walaupun kelancarannya hanya sedikit berbanding versi lama tapi memberi impak besar dalam perlumbaan sebenar,” katanya.
Azizulhasni yang terkenal dengan gelaran The Pocket Rocketman juga mengakui disebabkan pandemik Covid-19 hanya empat kru dari skuad berbasikal termasuk dua pelumba, seorang jurulatih dan pembantu jurulatih merangkap mekanik.
“Disebabkan hanya dua orang berjaya layak kru kali ini tidak besar tapi paling penting kita hanya perlukan jurulatih (John Beasley). Memang kalau boleh mahukan staf lain ada tapi Olimpik kali ini sangat berlainan apa yang penting saya hanya kekal fokus dan menumpukan kepada misi utama,” katanya.
Ia Olimpik keempat buat Azizulhasni dan pencapaian terbaiknya ialah meraih gangsa dalam acara keirin di Rio 2016.
Sumber : Harian Metro