‘KITA PERLU REALISTIK’

Glasgow: Memiliki ranking yang baik tidak semestinya menjamin kemenangan, lebih-lebih lagi dalam saingan berpasukan seperti Sukan Komanwel, kata ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David.
Dia yang ditemui di Lapangan Terbang Glasgow dari Amsterdam, semalam, berkata hanya akan memberi tumpuan kepada satu demi satu perlawanan.
“Biarpun ramai mengharapkan sebutir pingat emas dari saya, namun kita perlu realistik.
“Sukan Komanwel bukan kejohanan terbuka. Ia temasya berpasukan dan sokongan rakan menjadi kekuatan apabila turun ke gelanggang.
“Saya mungkin penyandang pingat emas dan berada dalam ranking pertama dunia, tapi di Sukan Komanwel lawan saya yang berada di ranking bawah mampu memberi saingan sengit hasil sokongan rakan sepasukan. Ini lazim dalam temasya seperti ini.
“Saya perlu letak diri saya sebagai salah seorang anggota pasukan dan bukan individu. Sudah tentu saya inginkan emas buat negara, itulah azam saya di sini,” katanya.
Pada temasya di Glasgow, Nicol akan mempertahankan emas acara individu selain berpasangan dengan Low Wee Wern.
Mengulas gandingan dengan Wee Wern, Nicol mengakui persefahaman penting apabila berada di gelanggang dan pemain nombor dua negara itu cukup serasi dengannya.
“Permainan Wee Wern semakin meningkat dan saya percaya gandingan kami akan menghasilkan keputusan memuaskan.
“Apapun semuanya bergantung pada hari perlawanan dan siapa lawan kami. Saya berharap dapat mengakhiri kemarau emas dalam acara beregu ini,” katanya .
Nicol hanya memenangi perak, berpasangan dengan Ong Beng Hee pada temasya di Manchester 2002 dan gangsa di New Delhi, empat tahun lalu.
“Saya harap emas hadir di Glasgow bersama Wee Wern,” katanya.
Sumber : Harian Metro