KEYAKINAN WEI FENG MAKIN MEMUNCAK

JURULATIH perseorangan negara, Rashid Sidek yakin Chong Wei Feng mampu menemui semula rentak permainannya pada Kejohanan Badminton Dunia 2014 yang membuka tirai di Ballerup Super Arena di Copenhagen, Denmark semalam.

Menurut Rashid, pemain perseorangan lelaki kedua negara itu sudah menyedari kesilapan yang dilakukannya ketika tewas mengejut kepada wakil India, R.M.V Gurusaidutt pada saingan suku akhir Sukan Komanwel 2014 di Scotland awal bulan ini.

“Saya harapkan Wei Feng dapat memberikan persembahan terbaik. Buat masa ini, saya berpuas hati dengan keadaan (prestasi) semasanya.

“Dia banyak berlatih bersama- sama (jaguh negara) Datuk Lee Chong Wei yang turut memberi- kan galakan dan motivasi kepada- nya.

“Nampaknya keyakinan Wei Feng semakin bertambah menjelang kejohanan dunia kali ini,” kata Rashid semalam.

Rashid berkata, beliau yakin Wei Feng mempunyai keazaman untuk mempamerkan persembahan terbaik pada kejohanan edisi ke-21 itu walaupun banyak pihak yang meletakkan sasaran kepada Chong Wei untuk muncul juara.

Wei Feng bakal turun pada aksi pusingan pertama berdepan pemain England, Rajiv Ouseph hari ini.

Rashid turut menjelaskan, beliau sudah melupakan segala pergeseran yang berlaku dengan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Tengku Ma- haleel Tengku Ariff.

“Niat saya adalah membantu pasukan meraih kemenangan pada kejohanan ini dan saya akan cuba sebaik mungkin memberi motivasi dan galakan bagaimana mahu hadapi lawan masing-masing,” kata Rashid.

Dalam pada itu, beregu wanita negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei bermula cemerlang selepas mene- waskan gandingan dari Republik Czech, Sarka Krizkova-Katerina Tomalova 21-11, 21-12 pada pusingan pertama semalam.

Pada pusingan kedua, Vivian- Khe Wei yang meraih pingat emas pada Sukan Komanwel 2014 dijadualkan bertemu pilihan ke-15 dari Denmark, Line Damkjaer Kruse-Marie Roepke.