SEPANG, 7 DISEMBER 2017: Juara Dunia yang baharu dinobat di Las Vegas minggu lalu iaitu skuad tenpin boling wanita negara yang diketuai Shalin Zulkifli tiba di ibunegara siang tadi dengan disambut meriah warga sukan negara dan peminat sukan tanahair.
Kemenangan sebahagian besar atlet-atlet di bawah naungan Program PODIUM itu menamatkan kemarau 10 tahun emas acara berpasukan wanita yang pernah dimenangi dua kali pada tahun 2003 di Kuala Lumpur dan 2007 di Monterrey Mexico.
Selain Shalin, skuad Juara Dunia negara dibarisi Sin Li Jane, Siti Safiyyah Amirah Abdul Rahman, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Natasha Roslan.
Pada kejohanan Boling Dunia di Las Vegas Amerika Syarikat minggu lalu, skuad negara membawa pulang satu pingat emas dalam acara berpasukan wanita dan tiga pingat perak menerusi Shalin dan Sin Li Jane dalam acara beregu wanita, Siti Safiyyah Amirah Abdul Rahman dalam acara all events serta Sin Li Jane dalam acara Masters.
Bagi pemain senior negara, Shalin Zulkifli beliau besyukur di atas kemenangan ini dimana ia melonjakkan semangat skuad negara dalam menghadapi Sukan Asia di Jakarta tahun depan
“Bagi saya sendiri bersyukur dan berpuashati kerana tahun ini kami mencapai beberapa kejayaan. Setakat ini memang dikira segala penat lelah, usaha keras kami menjalani latihan dan menjalani sesi rehabilitiasi menampakkan hasil. Kami sangat berpuas hati kerana sasaran menjuarai acara berpasukan wanita di Kejohanan Dunia berjaya dicapai,” kata Shalin.
“Ini adalah petanda positif buat skuad tenpin boling negara dalam persediaan ke Jakarta. Sudah pasti kejayaan mengenepikan pasukan Singapura yang bukan-calang-calang pasukan memberi semangat kepada kami,” tambah Shalin.
Malah Shalin mengharapkan pasukannya terus konsisten dengan prestasi sedia ada kerana sasaran utama adalah Sukan Asia Jakarta 2018.
Bagi pemenang 2 pingat perak Kejohanan Dunia, Sin Li Jane ini adalah tahun paling cemerlang buatnya.
“Saya rasa ini adalah prestasi terbaik saya setakat ini dan saya gembira berpeluang menjadi sebahagian dalam kejayaan ini. Impian kami dari dahulu lagi untuk memenangi emas dalam acara berpasukan dan akhirnya kami berjaya menghasilkannya,” kata Sin Li Jane.
Skuad negara belum boleh menghela nafas lega memandang satu lagi kejohanan di Korea Selatan merupakan cabaran seterusnya yang perlu dihadapi sebelum menghadapi beberapa kejohanan iaitu di Finland dan Sweden awal tahun depan.
#TAKETHEPODIUM #TEAMISN #TEAMMAS