PERUBATAN sukan memberi tumpuan dalam membantu atlet meningkatkan prestasi sukan mereka, pulih daripada kecederaan dan mencegah kecederaan.
Pakar perubatan sukan merawat atlet amatur, atlet yang mahu keputusan lebih baik daripada program latihan mereka dan juga atlet yang telah mengalami kecederaan serta cuba untuk mendapatkan semula fungsi penuh. Selain itu, mereka turut berperanan membantu atlet kurang upaya yang cuba
meningkatkan mobiliti serta keupayaan diri.
Dalam keluaran Di Sebalik Tabir kali ini Pengarah Bahagian Perubatan Sukan, Institut Sukan Negara (ISN), DR. ARSHAD PUJI berkongsi pengalaman dan cabaran yang pernah ditempuh dalam bidang berkenaan bersama Wartawan Utusan Malaysia, ZAZALI JAMIAN.
MELIHAT atlet kembali sihat dan berupaya bertanding adalah antara kepuasan buat pegawai dalam bidang perubatan sukan ISN, itulah yang dirasai oleh Dr. Arshad.
PEGAWAI perubatan sukan ISN melakukan pemeriksaan ke atas atlet bagi mengesan sebarang kecederaan.
Selaku antara individu berpengalaman dalam bidang perubatan sukan di ISN, Dr. Arshad tidak terlepas daripada melalui pelbagai cabaran dan antaranya ialah ketika Sukan SEA beberapa tahun lalu.
Ketika itu, seorang atlet elit olahraga telah disahkan mengalami kecederaan berulang pada kaki kurang tiga hari sebelum berlepas ke temasya tersebut dan dia juga adalah prospek pingat emas olahraga negara.
Disebabkan masa yang terlalu suntuk serta segala perancangan perjalanan telah dibuat, atlet tersebut bertekad meneruskan perjalanan dengan harapan kecederaan tersebut sempat pulih sebelum pertandingan, namun, apa yang diharapkan tidak berlaku sebaik tiba di tempat Sukan SEA berlangsung.
Pemeriksaan mendapati terdapat bengkak di belakang tumit kaki yang disebabkan oleh radang pada tisu, biarpun kecederaan tidak begitu teruk, namun, ia sudah cukup untuk membuatkan atlet berkenaan tidak dapat berjalan dengan betul apatah lagi berlari.
“Ketika itu cabaran besar yang perlu dihadapi ialah bagaimana untuk memastikan atlet berkenaan dapat berlari dan bertanding semula dalam tempoh masa yang sangat suntuk.
“Di sinilah peranan dan kerjasama antara pasukan perubatan penting untuk merancang pelan rawatan terbaik atlet berkenaan. Melalui sesi rawatan intensif yang dipantau rapi serta perbincangan bersama atlet dan jurulatih, akhirnya atlet itu bukan sahaja dapat berlari, malah berjaya meraih pingat emas buat negara,” kata Dr. Arshad.
Kes atlet positif doping juga adalah antara cabaran besar pernah dilalui Dr. Arshad bersama ISN dan ketika itu, dia ditugaskan menangani situasi berkenaan apabila seorang atlet yang memenangi emas pertama negara sewaktu temasya sukan besar telah dikesan mempunyai kandungan ubat terlarang dalam ujian air kencing doping yang diambil selepas pertandingan.
Pada saat kontinjen negara memerlukan suntikan semangat untuk berjuang dan memenangi lebih banyak pingat, berita berkenaan pastinya sedikit sebanyak akan memberi kesan negatif dan mengganggu semangat juang atlet lain.
“Keputusan itu kemudian dimaklumkan kepada ketua kontinjen negara tiga hari selepas itu dan sebagai ketua pasukan perubatan, saya diberi amanah untuk memastikan penyampaian berita tersebut tepat dan terkawal di samping melihat serta memantau proses selanjutnya oleh pihak agensi berkaitan sebelum kenyataan rasmi positif doping dikeluarkan.
“Antara cabaran utama ketika itu ialah untuk memastikan dan menyemak semula proses teknikal pengendalian sampel yang dijalankan agensi berkaitan adalah mengikut tertib seperti ditetapkan supaya tidak timbul keraguan dalam keputusan akhir nanti.
“Walaupun, proses ini amat rumit serta mengambil masa, namun, ia harus dilakukan dengan teliti demi memastikan tiada keraguan dalam keputusan ujian dan menjaga kebajikan atlet serta maruah negara,” kata Dr. Arshad.
Secara purata ketika ini sebanyak 1,000 hingga 1,500 atlet akan menjalani saringan atau pemeriksaan yang dijalankan oleh Bahagian Perubatan ISN bagi memastikan status kesihatan serta kecergasan mereka berada di tahap terbaik serta kekal sihat.