KEPULANGAN SKUAD WUSHU DISAMBUT MERIAH

SEPANG, 5 OKT 2017: Selepas meraih dua emas tiga perak dan tiga gangsa di Kejohanan Dunia Wushu di Kazan Rusia, skuad negara tidak mendabik dada sebaliknya berazam untuk membuat persiapan lebih rapi untuk berdepan Sukan Asia Indonesia yang akan berlangsung kurang setahun daripada sekarang.

Menurut jurulatih negara, Lim Yew Fai sepanjang pemerhatiannya pada Kejohanan Dunia edisi ke 14 tempoh hari, kebangkitan bakat-bakat baharu yang berpotensi tinggi merupakan cabaran yang perlu dihadapi anak buahnya kelak.

“Pasukan kami telah beraksi dengan baik. Meskipun meraih dua pingat emas tetapi saya lihat banyak perkara yang perlu diperbaiki oleh semua atlet dalam setiap kategori. Kelemahan-kelemahan ini telah dikenalpasti dimana jika ia dapat diperbaiki saya yakin skuad negara mampu menghasilkan keputusan yang lebih baik pada masa akan datang,” kata Lim Yew Fai.

Skuad negara tiba di ibunegara siang tadi dengan disambut meriah warga sukan negara di KLIA Sepang.

Dalam Kejohanan Dunia di Kazan awal minggu ini pingat emas pertama negara disumbangkan Wong Weng Son dalam acara Jianshu Lelaki dengan catatan 9.64 mata meninggalkan pencabarnya dari Korea Selatan di tempat kedua diikuti seorang lagi wakil negara Yeap Wai Kin dengan pingat gangsa.

Bagi Wong Weng Son gelaran juara dunia yang diraih kali ini adalah hasil dorongan pelbagai pihak khususnya jurulatih yang banyak memberi sokongan kepadanya sepanjang pertandingan.

“Pertama sekali kejayaan ini tidak mungkin dicapai tanpa sokongan padu individu-individu dibelakang saya selama ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Institut Sukan Negara, Majlis Sukan Negara dan Persatuan Wushu Malaysia kerana memberi peluang untuk saya menyertai kejohanan ini,” kata Wong Weng Son.

“Saya tidak mengendahkan kelebihan pihak lawan sebaliknya saya akan berusaha keras untuk memperbaiki diri saya sendiri agar dapat menyumbangkan lebih banyak kejayaan kepada Malaysia,” tambah Weng Son.

Manakala satu lagi pingat emas disumbangkan gandingan Phoon Eyin, Loh Ying Ting & Tan Cheong Min dalam acara Women’s Dual Event.

“Kami sangat gembira memenangi emas dalam acara ini kerana ia adalah satu kejutan. Kami tidak mensasarkan sebarang pingat kerana kami hanya cuba yang terbaik,” kata Phoon Eyin.