JANGAN GENTAR JUMPA PASUKAN HEBAT

KUALA LUMPUR – Malaysia bukanlah pencabar yang kuat dalam ragbi, namun diletakkan dengan pasukan handalan dunia pada Sukan Komanwel Glasgow, Scotland mampu memberikan satu pengalaman yang amat berguna buat skuad kebangsaan yang rata-ratanya dibarisi pemain muda.
Kapten, Mohd. Syahir Asraf Rosli berkata, pasukan negara diletakkan dalam Kumpulan C bersama-sama Samoa, Papua New Guinea serta Wales dan pencabar dari Eropah iaitu Wales bakal menjadi ujian pertama Malaysia pada perlawanan pembukaan, Sabtu ini.
“Wales adalah sebuah pasukan handalan dunia, mereka merupakan penyandang juara dunia kejohanan ragbi 7 sebelah. Jadi, mereka bukanlah calang-calang lawan dan saya amat berharap rakan sepasukan tidak gentar bertemu Wales. Jangan terlalu hormat kepada lawan dan cuba beri tentangan kepada mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Meletakkan sasaran untuk meraih kedudukan 12 terbaik daripada 16 pasukan bertanding, anak muda berusia 26 tahun itu menyifatkan pemergian skuad kebangsaan ke Glasgow merupakan satu pengalaman amat berharga untuk mereka timba daripada pasukan-pasukan handalan dunia tersebut.
Jelasnya, apa yang pasti skuad kebangsaan kali ini lebih baik berbanding pasukan 2010, dan dengan dibarisi pemain-pemain muda yang telah diberi pendedahan berlatih serta menyertai pertandingan di luar negara.
“Sebagai persediaan ke Sukan Komanwel kami telah ke Afrika Selatan dan Perth, Australia untuk menyertai latihan serta pertandingan di sana. Malah, kami juga berpeluang mendapatkan tunjuk ajar daripada jurulatih berpengalaman di negara-negara berkenaan,” ujarnya.
Menurut Syahir, bertemu dengan pasukan hebat dan berprestij seperti Samoa, Kenya dan Wales memerlukan mental serta pemikiran yang positif agar kehadiran Malaysia sekurang-kurangnya mampu memberikan cabaran.
“Saya berharap kita dapat meraih mata dalam perlawanan-perlawanan ini dan para pemain harus yakin mereka mampu berbuat demikian. Walaupun pada hakikatnya sukar, kita perlu memanfaatkan pengalaman ketika bersaing di atas padang,” tambahnya.
Sumber : Utusan Malaysia