ISN SERAH PERISIAN TERKINI SISTEM ANALISIS PRESTASI SUKAN KEPADA KONFEDERASI HOKI MALAYSIA

BUKIT JALIL, 15 MAC 2018 – Bagi memperhebatkan persediaan skuad hoki lelaki negara yang berada dalam Program PODIUM untuk berdepan Sukan Asia 2018, Institut Sukan Negara (ISN) menyerahkan Sistem Analisis Prestasi Sukan khusus bagi keperluan skuad hoki negara kepada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menerusi perisian terkini Catapult Sport System’ dan ‘Sportscode Performance Analysis Software V11’.

Kedua-dua perisian terkini ini akan mula digunakan sepenuhnya semasa sesi latihan dan kejohanan dalam dan luar negara termasuk bagi saingan utama dalam masa terdekat ini iaitu temasya Sukan Komanwel Gold Coast 2018 April ini dan Sukan Asia 2018 di Indonesia Ogos depan.

Hadir dalam majlis semalam barisan tertinggi kedua-dua badan organisasi yang diketuai Pengerusi Lembaga ISN, Dato’ Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dan Presiden KHM, Dato’ Seri Subahan Kamal.

Bagi Pengerusi Lembaga ISN, Dato’ Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, keistimewaan memiliki Sistem Analisis Prestasi Sukan secara khusus dibekalkan ISN kepada skuad ‘The Malaysian Tigers’ adalah komitmen ISN untuk memantapkan lagi penggunaan teknologi dalam pembangunan sukan negara.

“Pemberian ini selari dengan syarat dan keistimewaan sukan-sukan dalam Program PODIUM. Malah selain sebagai Pengerusi ISN, menjadi impian saya yang juga Chef De Mission Sukan Asia 2018 untuk memastikan skuad hoki lelaki negara merangkul pingat EMAS yang telah disasarkan oleh PODIUM agar skuad negara kendalian ketua jurulatih Stephen Van Huizen layak secara automatik ke Sukan Olimpik Tokyo 2020,” kata Dato’ Seri Azim.

‘Catapult Sport System’ adalah satu perisian yang telah digunakan secara meluas oleh kebanyakan pasukan ternama dunia yang mampu membantu atlet, jurulatih serta pegawai sains sukan dalam merancang latihan yang bersesuaian dengan keperluan semasa pasukan.

Ia berfungsi dalam menganalisis pergerakan atlet dalam latihan serta pertandingan melalui keupayaan untuk merekod koordinasi, kelajuan, pecutan, arah dan intensiti pergerakan seterusnya menterjemahkan parameter-parameter tersebut kepada beban latihan.

Beban latihan yang sesuai (stimuli) mampu membantu atlet menyesuaikan diri (adaptation) dengan latihan yang diberi sekaligus meningkatkan prestasi dan mengurangkan risiko kecederaan.

Pegawai Fisiologi di Institut Sukan Negara, Dr Carl Alexander James akan mengendalikan sistem ini sepanjang tempoh persediaan pasukan menghadapi pertandingan.

Manakala perisian ‘Sportscode Performance Analysis Software V11’ adalah satu perisian yang digunapakai oleh pegawai analisis prestasi dalam mengkaji tingkahlaku (petunjuk prestasi) pemain semasa latihan dan pertandingan melalui rakaman video atau secara langsung.

Video akan dianalisis menggunakan petunjuk prestasi yang ditetapkan oleh jurulatih dan pegawai analisis prestasi bagi memahami tingkahlaku pemain sendiri mahupun lawan seterusnya menggunakan penilaian terhadap tingkahlaku tersebut untuk memperbaiki strategi perlawanan.

Bagi pasukan hoki lelaki kebangsaan, pegawai analisis prestasi iaitu Arif Aziz sentiasa menggunakan perisian ini dalam merencanakan strategi pasukan sepanjang latihan dan perlawanan dengan kerjasama yang erat daripada jurulatih dan pemain.

Selain perkhidmatan teknologi analisis prestasi sukan, skuad hoki lelaki negara sebelum ini telahpun mendapat sokongan mantap dari pelbagai kemudahan sains, perubatan dan teknologi sukan antaranya kepakaran biomekanik, fisiologi, psikologi, pemakanan, suaian fizikal, perubatan sukan, urutan sukan, fisioterapi dan penyelidikan dan pendidikan.

#PoweredByISN #TeamISN