Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Ramli, menggesa supaya jaguh karate-do negara, Syakilla Salni Jefry Krishnan, lebih berdisiplin dalam misi menurunkan berat badannya menjelang Kejohanan Karate-do K1 di Istanbul, Turki, bermula 17 Mei depan.
Sebelum ini, atlet berusia 27 tahun itu menyertai program khas di ISN, namun berat badannya sebaliknya bertambah dua kilogram lagi selepas hanya sekali menghadiri sesi tersebut sejak bulan lalu.
Ahmad Faedzal akan menambah bantuan kecergasan kepada sesi harian buat Syakilla supaya dia terus tidak terlepas peluang untuk merebut slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, apatah lagi dia dianggap prospek penyumbang pingat emas buat Malaysia.
Syakilla yang mempunyai berat badan 65 kilogram ketika ini menyaksikan dia telah menarik diri daripada tiga kejohanan kelayakan Sukan Olimpik 2020 ekoran gagal menurunkan berat badan untuk mencabar kategori 55 kilogram.
“Saya harap beliau lebih berdisiplin dan mengikuti program ISN dengan tekun, Insya-Allah sasaran berat badannya boleh dicapai.
“Kami pasti dapat membantunya mencapai berat bawah 60kg sebelum dia berlepas ke Latvia.
“Saya yakin dengan kemampuan pegawai saya manakala dia juga perlulah bersama-sama kami untuk bersedia menjalani rutin latihan,” jelas Ahmad Faedzal.
Meskipun atlet kelahiran Kuala Lumpur itu bakal menjalani latihan di Latvia di bawah bimbingan Andris Vasiljevs, bulan depan, ISN tetap akan memantau piawaian berat badan yang telah ditetapkan.
“Kami akan sediakan program latihannya di sana daripada segi pengawalan berat badan.
“Nasihat tertentu akan dibekalkan dan pemantauan berat badannya akan tetap diteruskan,” katanya lagi.