ISN Meriahkan Program MADANI Rakyat 2025 di Johor Bahru

JOHOR BAHRU, 23 Mei 2025 – YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, hari ini menghadiri dan merasmikan Program MADANI Rakyat 2025 Negeri Johor yang berlangsung penuh meriah di Toppen Shopping Centre, Johor Bahru.

Program yang bertujuan memperkukuh hubungan antara kerajaan dan rakyat ini menyaksikan kehadiran ribuan pengunjung, terutamanya golongan belia, yang membanjiri lokasi acara sejak awal pagi. Kehadiran ramai anak muda mencerminkan sokongan dan keyakinan generasi pelapis terhadap gagasan Malaysia MADANI.

Turut hadir memeriahkan program ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Dr. Vellapandian Ponnusamy. ISN turut mengambil bahagian dengan membuka reruai pameran serta menyediakan perkhidmatan liputan perubatan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan para pengunjung.

Reruai KBS terus hangat dengan kehadiran YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara (KSN). Beliau turut meluangkan masa beramah mesra bersama warga kerja KBS, menyuntik semangat kepada semua yang hadir.

Program MADANI Rakyat 2025 diteruskan sebagai salah satu inisiatif utama kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan secara langsung kepada rakyat selain memperkenalkan pelbagai usaha pembangunan menyeluruh yang digariskan dalam kerangka Malaysia MADANI.