Kuala Lumpur : Institut Sukan Negara (ISN) akan terus memberi sokongan kepada atlet olahraga remaja kebangsaan Badrul Hisyam Abdul Manap secara berperingkat-peringkat berdasarkan keperluan dan kesesuaian atlet berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif ISN Dato’ Dr. RamlanAbdul Aziz berkata pihaknya akan berbincang dengan jurulatihnya Poad Kassim mengenai keperluan atlet Badrul dalam usaha untuk membantu proses penguasaan prestasi.
“Kita harus beri peluang untuknya berkembang dan meraih perkembangan lanjut dengan proses yang betul, tidak perlu beri tekanan kepada Badrul untuk mencapai sesuatu di luar dugaan.
“Kita perlu berhati-hati dan biar tekanan untuk jadi juara datang dari diri Badrul sendiri bukan bagi merealisasikan harapan orang lain.
“Kalau kita meletakan sasaran mengikut harapan kita dan bukan keperluan Badrul sendiri, ini akan jadi masalah seperti berlaku kecederaan, hilang pedoman dan sekali gus mengganggu perkembangan karakter sendiri,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pusat Satelit ISN di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Mohd Syaiful Akmal Abdul Karim berkata pihaknya mendapati terdapat peningkatan atlet olahraga itu pada setiap kejohanan disertai termasuk yang terbaru ini Terbuka Universiti Perlis (UNIMAP) bulan lalu.
“Kami berbincang dengan jurulatihnya dan mahu dia mencapai kemuncak sekali gus memecah rekod kebangsaan pada temasya ASG ( Sukan Sekolah Asean 2015) dan seperti dijangka Badrul berjaya melakukannya,” katanya.
Badrul, 18, mencipta nama dalam sejarah olahraga negara apabila melebur rekod 17 tahun acara 100 meter, 10.30 saat yang dibuat Watson Nyambek pada 1998.
Badrul mencipta rekod baru 10.29 saat sekali gus meraih pingat emas acara 100 meter pada temasya Sukan Sekolah ASEAN 2015 (ASG) di Bandar Seri Begawan, Brunei baru-baru ini.