ISKANDAR ALWI BAHARUI REKOD KEBANGSAAN LOMPAT BERGALAH

KANGAR — Disiplin merupakan kunci utama kejayaan atlet negara Iskandar Alwi memperbaharui rekod kebangsaan miliknya sendiri bagi acara lompat bergalah lelaki pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-17 di Stadium Tuanku Syed Putra di sini pada Ahad.

Beliau yang mewakili Johor melakukan lompatan setinggi 5.15 meter iaitu mengatasi rekod 5.10m yang dilakukannya pada Sukan SEA Myanmar 2013. Atlet berusia 20 tahun ini juga turut memperbaharui rekod Sukma miliknya iaitu setinggi 4.80m pada edisi 2012 di Pahang.

Pingat perak menjadi milik Mohammad Afiq Ahmad Alham juga dari Johor dengan catatan 4.60m manakala Mohd Rahimin Mohd Nasir dari Perak meraih pingat gangsa dengan catatan 4.00m.

“Sebenarnya saya susah bangun awal, lima bulan saya cuba mendisiplinkan diri saya tidur seawal 11 malam dan bangun awal pagi. Memang berhasil, jadi mendisplinkan diri paling penting jika mahu pergi jauh dalam sukan ini.

“Saya sasar mahu lakukan rekod Sukma sahaja tetapi tak sangka dapat memperbaharui rekod kebangsaan. Pencapaian ini juga membakar semangat untuk saya membuat yang lebih baik pada Sukan Asia di Incheon pada September depan,” katanya yang juga merupakan pemenang pingat perak Sukan SEA, Myanmar 2013.

Dalam pada itu bagi acara 110m lari berpagar lelaki menyaksikan Muhd Ajmal Aiman Mat Hassan dari Terengganu meraih pingat emas dengan catatan masa terpantas 14.58 saat manakala pingat perak menjadi milik Muhammad Hafiz Ghazali dari Selangor dengan 14.92s.

Pingat gangsa menjadi milik Mohd Ammar Zakuan Zanuar dari Johor dengan catatan 15.18s.

Bagi acara 100m lari berpagar wanita, ia menjadi milik Ku Munirah Ku Zamzuri dari Melaka dengan catatan 14.61s menewaskan pemenang pingat perak dan gangsa masing-masing iaitu Aini Nurazira Mohd Ali dari Johor (14.71s) dan Nur Amanina Tugimin dari Wilayah Persekutuan (14.79s).