HENTIKAN BAU BADAN DENGAN 12 PENAWAR SEMULAJADI

Aduh! Tengiknya…
Hampir setiap hari berurusan dengan para atlet untuk melakukan ujian kecergasan, pasti mengundang pelbagai cerita dan antara yang menarik ialah BAU BADAN. Adalah sesuatu yang biasa untuk para atlet ini mempunyai bau badan yang kuat lebih-lebih lagi bila mereka selesai melakukan rutin latihan mereka. Faktor cuaca, keturunan serta pemakanan memang menyumbang kepada permasalahan ini dan sekiranya tidak dijaga akan menganggu keselesaan orang di sekeliling.

Berpeluh adalah proses semulajadi dan menyihatkan. Melalui proses ini toksin di dalam tubuh akan dikeluarkan dan membantu menyihatkan tubuh badan. Setiap individu yang berpeluh semestinya menzahirkan bau badan yang tersendiri samada kuat atau pun tidak. Namun begitu ramai yang tidak menyedari masalah ini sehinggalah mereka diberitahu. Sudah tentu cuaca yang panas serta pemakanan yang diambil menyumbang kepada bau badan yang busuk. Faktor keturunan juga memainkan peranan namun sekiranya individu tersebut mengambil langkah-langkah tertentu di dalam menangani masalah ini faktor penyumbang bukan lagi isu utama.

Mempunyai bau badan yang busuk merupakan isu yang sensitif dan turut menyebabkan rasa rendah diri/malu dan tiada keyakinan untuk berhadapan dengan orang ramai. Bau badan yang busuk berpunca dari peleraian bekteria kepada protin yang menghasilkan asid tertentu yang mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan. Sesetengah individu peka akan bau badan mereka dan tidak kurang juga ramai yang langsung tidak menyedari sehinggalah diberitahu dan malang juga bila ada yang tidak menerima teguran dan seterusnya menafikan yang mereka mempunyai masalah bau badan.

Antara faktor penyumbang lain kepada masalah ini ialah pengambilan makanan berbau, pengambilan alkohol, pengidap diabetes yang tidak dirawat dan juga STRESS. Bagi merawat masalah ini, individu mestilah mengetahui kepentingan menjaga kebersihan serta mengamalkan cara hidup sihat. Pengunaan deodorants dan minyak wangi boleh membantu mengurangkan bau badan namun ianya hanya untuk memberi pelindungan luaran yang bersifat sementara.

Berikut adalah beberapa penawar semulajadi bagi menggantikan kaedah moden yang boleh diamalkan dengan selamat dan berkesan.

1.    Mencukur/membuang bulu di bawah lengan.
Ianya harus dilakukan kerana bulu akan memerangkap peluh serta bekteria yang menyumbang kepada bau badan.

2.    Gunakan alcohol wipes atau cuka di bawah lengan sebelum melakukan sesuatu aktiviti kerana kedua-duanya mampu mengurangkan bacteria yang terhasil.

3.    Sapukan baking soda atau tepung jagung di bahagian badan yang berbau. Kedua-duanya mampu menyerap kelembapan dan baking soda boleh membunuh bacteria.

4.    Minyak tea tree juga boleh digunakan di bahagian badan berbau kerana ianya membunuh bacteria namun begitu berhenti dari menggunakan sekiranya ia merengsakan kulit.

5.    Daun sage juga membantu tetapi sebelum dapat menggunakan kebaikkannya, daun ini perlulah diseduh, dibiarkan sejuk dan disimpan di dalam botol. Sapulah dibahagian bawah lengan dan elakkan bahagian badan yang sensitive. Selepas menggunakan basuhlah tangan bagi mengelakkan iritasi sekiranya tersentuh muka

6.    Makanlah sayuran seperti bayam, kale, chard dan herba-herba seperti daun kemangi atau pun sebarang sayur berdaun hijau kerana klorofil mempunyai kuasa mengharumkan badan.

7.    Pengambilan parsli sebagai minuman juga amat membantu kerana sifat parsli mampu melawan bau busuk. Ianya turut menyegarkan badan.

8.    Kurangkan pengambilan daging merah di dalam diet kerana ianya menyumbang kepada penghasilan bau badan yang tidak enak.

9.    Kurangkan makan makanan pedas, berminyak dan berbau seperti kari dan bawang putih.

10.    Gunakan daun sirih yang telah dilumatkan dan sapu di bawah lengan dan biarkan seketika sebelum mandi.

11.    Campurkan air limau nipis dan sedikit kapur sehingga menjadi pes. Sapukan di bahagin badan yang berbau terutamanya di celah-celah lipatan. Biarkan seketika dan bilas dengan air bersih.

12.    Mengamalkan meminum air halia kerana ianya berupaya mengurangkan bau badan disamping khasiat tambahan seperti membuang angin serta menghangatkan badan.

Anda yang menghadapi masalah bau badan ini, bolehlah mencuba petua-petua yang diberikan namun begitu mestilah diamalkan dengan berdisiplin dan teratur. Ianya mungkin mengambil sedikit masa tetapi amat membantu untuk jangka masa panjang. Turut diingatkan sekiranya berlaku iritasi kepada kulit, segera hentikan bagi mengelakkan masalah yang lebih teruk. Selamat mencuba.

Norida Barudin
Pusat Satelit Terengganu