KANGAR — Atlet Terengganu, Harith Ammar Mohd Sobri dan atlet Pulau Pinang, Zaidatul Husniah Zulkifli mempertahankan gelaran raja dan ratu pecut pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-17 di trek balapan Stadium Tuanku Syed Putra di sini pada Jumaat.
Pada final 100m lelaki hari ini, Harith Ammar mencatat masa 10.61 saat untuk merangkul emas manakala pencabarnya G.Aravinthevar dari Perak meraih pingat perak dengan masa 10.82s.
Atlet Pahang Mohd Amirul Mukmin Mohd Yusmiza melakukan larian ketiga terpantas apabila mencatatkan masa 10.89s untuk pingat gangsa.
“Saya sangat berpuas hati sebab pada penampilan terakhir kali ini saya dapat mempertahankan pingat emas. Memang saya memberi tumpuan sepenuhnya ketika beraksi tadi.
“Saya juga berpuas hati dapat membuat rekod peribadi terbaik tahun ini. Sebelum ini saya masa lakukan 10.84 saat, terima kasih juga kepada Institut Sukan Negara (ISN) kerana membantu proses pemulihan kecederaan hamstring yang dialami sebelum ini sehingga saya benar-benar cergas untuk beraksi semula” kata Harith Ammar.
Sementara itu Zaidatul Husniah pula meraih pingat emas dengan catatan terpantas iaitu 12.15s, dengan menewaskan atlet Perak Noor Eewan Syafiqah Mohd Sabri di tempat kedua dengan masa 12.20s.
Pingat gangsa diraih oleh kakak kembar Zaidatul Husniah, Zaidatul Husna dengan 12.33S.
Ternyata gembira dengan kemenangan tersebut, Zaidatul Husniah menyifatkan kakak kembarnya dan Noor Eewan Syafiqah antara atlet pecut yang memberikan saingan sengit pada final.
“Saya sangat gembira dengan kejayaan hari ini, ayah dan ibu saya juga turut hadir menyaksikan perlumbaan saya dan kakak (Zaidatul Husna).
“Tetapi terkilan juga sebab tidak dapat memecah rekod Sukma iaitu 11.82s yang dilakukan Siti Fatima Mohammad. Saya juga tidak dapat membuat catatan peribadi terbaik mungkin disebabkan angin yang terlalu kuat ketika beraksi tadi,” katanya.
Dalam pada itu, atlet Mohd Arif Zulhilmi Alet dan Siti Nur Afiqah Abdul Razak dari Terengganu masing-masing meraih pingat emas dalam acara 400m lelaki dan 400m wanita.
Mohd Arif membuat catatan 47.42s untuk menewaskan Mohd Fairol Nazim Mohd Noor dari Terengganu di tempat kedua dengan masa 47.89s manakala pingat gangsa diraih oleh atlet Sabah, Ancois Aron dengan 48.10s.
Siti Nur Afiqah pula melakukan catatan terpantas iaitu 54.46s menewaskan atlet Sabah, Fatin Faqihah Mohd Yusof dengan masa 57.58s, di tempat kedua.
Pingat gangsa menjadi milik Zaimah Atifah Zainuddin dari Wilayah Persekutuan dengan 58.09s.