DR. MOHD KHAIRI MEMULAKAN TUGAS SEBAGAI PENERAJU INSTITUT SUKAN NEGARA

BUKIT JALIL, 15 JANUARI 2016 – Institut Sukan Negara menyambut baik ketibaan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu iaitu YBrs. Dr. Mohd Khairi bin Zawi yang memulakan tugas beliau berkuatkuasa hari ini.

Dr. Mohd Khairi, 53, warganegara Malaysia yang dilahirkan di Singapura mempunyai pengalaman yang luas dalam industri sukan serta memperoleh Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kawalan Motor Manusia dan Biomekanik Sukan dari Universiti Queensland, Australia pada 1998.

Sebelum berkhidmat di ISN, beliau merupakan Ketua Program Siswazah (Doktor Falsafah) Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau juga pernah berkhidmat selama 17 tahun di Universiti Puta Malaysia (UPM) dan bertanggungjawab mengasas Akademi Sukan serta Jabatan Pengajian Sukan di Fakulti Pendidikan universiti itu.

Beliau dalam perhimpunan mesra bersama semua warga ISN pagi ini, telah memberi amanat agar semua warga ISN menepati masa serta mengharapkan agar warga ISN bersama-sama mencapai visi untuk menjadikan sains dan perubatan sukan sebagai elemen teras dalam pembangunan sukan berprestasi tinggi di Malaysia.

Sementara itu, Dato’ Dr. Ramlan akan terus berkhidmat di Kementerian Belia dan Sukan sebagai penasihat kepada menteri serta pakar rujuk perubatan sukan. Ini akan memberi pengkhususan kepada beliau untuk menumpu dalam penyelidikan bidang perubatan dan sains sukan sebagai salah satu cabang utama program Podium.

 

Pic5 Pic2 Pic3 Pic4