KUCHING – Semua atlet Sarawak dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2016 dilarang mengambil sebarang makanan atau ubat-ubatan tambahan tanpa merujuk kepada pakar dari Institut Sukan Negara (ISN) dan Agensi Anti Doping Malaysia (Adamas) terlebih dahulu.
Menteri Pembangunan Sosial Negeri, Tan Sri William Mawan Ikom berkata, arahan tersebut bertujuan memastikan tiada atlet mewakili Sarawak akan dikenakan tindakan atau berdepan dengan masalah doping menjelang kejohanan yang berlangsung di Bumi Kenyalang pada 22-31 Julai tahun depan.
“Saya menyeru para atlet supaya tidak mengambil sebarang makanan atau ubat-ubatan tambahan tanpa merujuk kepada pakar dari ISN dan Adamas kerana kita tidak mahu lagi ada atlet Sarawak dikenakan tindakan atas masalah doping.
“Jika semua pihak iaitu ketua jurulatih, penolong jurulatih dan para atlet memainkan peranan masing-masing dengan sempurna, sasaran kita untuk menjadi juara keseluruhan kali ini pasti menjadi kenyataan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Muda Sukan Negeri, Datuk Lee Kim Shin ketika Majlis Pelancaran ‘Pasukan Impian’ Sarawak di sini semalam.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak, Dr. Ong Kong Swee dan Pemangku Majlis Sukan Negeri Sarawak, Lukas Kalang Laeng.
Seramai 50 ketua jurulatih dan penolong jurulatih untuk kontinjen Sarawak yang menyertai kesemua 24 acara sukan dalam temasya itu turut menerima watikah pelantikan masing-masing.
Sukma 2016 mempertaruhkan 382 pingat emas dan kontinjen Sarawak menyertai kesemua acara yang dipertandingkan.
Mengenai Pasukan Impian, William memberitahu, pelancaran pasukan itu bertujuan merealisasikan harapan untuk meraih sekurang-kurangnya 70 pingat emas dalam temasya tersebut.
“Bagi mencapai harapan mengumpul sekurang-kurangnya 70 pingat emas, sekali gus muncul juara keseluruhan temasya itu, semua pihak harus melipat gandakan usaha dan memberikan komitmen padu.
“Para atlet juga harus berusaha keras menjalani latihan pusat yang sudah bermula kerana Sarawak bukan sahaja mengimpikan untuk bergelar juara tetapi mahu kembali disegani sebagai jaguh sukan di negara ini,” ujarnya.