INCHEON – Kemaraan skuad badminton negara dalam acara berpasukan lelaki pada Sukan Asia 2014 tersekat di peringkat separuh akhir setelah tewas 0-3 kepada juara bertahan, China semalam.
Dalam acara yang berlangsung Gimnasium Gyeyang itu, pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei yang disandarkan harapan untuk mengutip mata pertama gagal memulakan langkah kanan.
Pemain kelahiran Pulau Pinang itu tewas kepada pemain No. 2 dunia, Chen Long 17-21, 21-19, 11-21 dalam masa 80 minit.
Setelah tewas pada set pertama, pemain kelahiran Pulau Pinang itu berjaya bangkit pada set kedua, namun rentak kemenangan tersebut gagal diteruskan pada set ketiga.
Chong Wei memberitahu, Chen Long beraksi cemerlang pada perlawanan itu dengan mempamerkan keyakinan yang tinggi.
“Cheng Long bermain lagi bagus hari ini (semalam). Dia mengawal permainan dengan baik.
“Saya akan memberikan aksi terbaik pada acara individu nanti (esok),” katanya.
Dalam pada itu, Chen Long menyifatkan Chong Wei berada dalam keadaan tertekan lebih-lebih lagi ketika dia mendahului sepanjang set ketiga.
“Chong Wei juga tidak bermain dengan baik,” katanya yang menewaskan Chong Wei pada aksi akhir Kejohanan Dunia 2014 di Copenhagen, Denmark bulan lalu.
Hajat kem badminton negara untuk menyamakan kedudukan yang disandarkan kepada pasangan, Tan Boon Heong-Hoon Thien Heong juga tidak kesampaian apabila mereka tewas kepada Xu Chen-Zhang Nan 21-14, 15-21, 10-21.
Rentak kemenangan pasangan itu pada set pertama gagal diteruskan apabila terpaksa akur dengan kehebatan beregu China dalam aksi yang berlangsung selama 58 minit.
Perseorangan kedua negara, Chong Wei Feng juga gagal menandingi seorang lagi jaguh China, Lin Dan apabila tewas 11-21, 12-21 dalam aksi yang berlangsung selama 41 minit.
Wei Feng yang ditemui memberitahu, dia memperoleh pengalaman berguna hasil pertemuan dengan pemain yang mempunyai kemahiran tinggi itu.
“Lin Dan mempunyai skil yang sangat bagus dan kekalahan ini memang menjadi pengalaman baik buat saya,” katanya.
Kekalahan tersebut membolehkan Malaysia meraih pingat gangsa dalam acara berpasukan.
China akan menentang Korea Selatan pada perlawanan akhir hari ini.
Sumber : Kosmo