12 April 2017- Jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang berada dalam tahap terbaik untuk memburu pingat emas pertamanya dalam Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2017 di Hong Kong yang membuka tirai secara rasmi hari ini.
Beraksi dalam dua acara iaitu keirin dan pecut individu, jaguh kelahiran negeri Terengganu ini optimis memburu pingat emas Kejohanan Dunia.
Selepas beberapa kali terlepas pingat emas Kejohanan Dunia dan hanya memenangi pingat perak dan gangsa sebelum ini, Azizulhasni melihat kejayaan membawa pingat gangsa Sukan Olimpik Brazil tahun lalu merupakan motivasi terbaiknya dalam edisi kali ini.
“Jurulatih John Beasley tidak memberi sebarang tekanan kepada saya dimana kejohanan ini dianggap sebagai aksi pemanas badan untuk membuat persiapan bagi kejohanan tahun depan. Namun sebagai pelumba elit yang telah beraksi hampir 10 tahun dalam Kejohanan Dunia, tidak dinafikan saya amat mengimpikan pingat emas kejohanan ini, “kata Azizulhasni.
Selain Azizulhasni, sandaran negara di Hong Kong turut digalas pelumba yang semakin meningkat, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang beraksi dalam acara keirin.
“Saya harap Shah Firdaus dapat belajar sebanyak mungkin dalam Kejohanan Dunia pertamanya ini. Ini adalah waktu terbaik buat Shah Firdaus menguji potensi beliau untuk masa akan datang. Saya harap beliau dapat beraksi cemerlang bersama-sama saya di sini,” kata Azizulhasni.
Kedua-dua atlet di bawah Program Podium ini akan memulakan aksi dalam acara keirin esok manakala acara pecut individu akan bermula pada Jumaat ini.
Pada Kejohanan Dunia di London tahun lalu, Azizulhasni meraih pingat gangsa dalam acara keirin. Pingat emas dimenangi Joachim Eilers dari Jerman manakala pingat perak dimenangi pelumba New Zealand, Edward Dawkins.