ATLET SEBAGAI DUTA KECIL NEGARA

KUALA LUMPUR – Apabila seseorang atlet dipilih mewakili negara ke sesuatu pertandingan atau temasya sukan di luar negara, mereka secara automatik adalah duta kecil negara.

Selain berusaha untuk meraih kejayaan untuk mengukur peningkatan prestasi diri masing masing, mereka berperanan untuk menjaga nama baik negara.

Atlet juga dilihat sebagai ikon atau idola kepada peminat sukan tanah air khususnya dalam kalangan remaja.

Namun, masalah disiplin segelintir atlet ketika mewakili negara secara tidak langsung boleh memalit imej negatif kepada negara.

Baru baru ini, negara dikejutkan dengan laporan di mana beberapa atlet dalam dua temasya sukan berprestij iaitu Sukan Komanwel Glasgow dan Sukan Asia Incheon tahun lepas didenda sejumlah hampir RM150,000 kerana merokok dan merosakkan harta benda termasuk membakar permaidani dan menyebabkan limpahan air di asrama.

Apa yang mengejutkan adalah insiden seperti ini pernah berlaku tetapi tidak begitu serius sebagaimana yang berlaku pada dua temasya sukan tersebut.

Di Scotland, kontinjen negara didenda sejumlah RM3,640 manakala di Korea Selatan, jumlah

denda yang dikenakan lebih besar iaitu RM142,478. Merokok menjadi masalah utama menyebabkan kontinjen negara dikenakan denda sebanyak itu.

“Merokok bukanlah satu penyakit yang boleh kita ubati dan ia sudah menjadi tabiat dan ketagihan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Dato’ Dr. Ramlan Abdul Aziz.

“Bagi saya, kesihatan tidak menjadi keutamaan kepada seseorang individu yang merokok,” tambah beliau.

Tabiat merokok dalam kalangan atlet bukan sahaja berlaku di negara ini malahan ikon ikon sukan peringkat.antarabangsa. Antara ikon sukan yang dikecam kerana merokok ialah pemain bola sepak England, Wayne Rooney, yang dilihat merokok pada hari rehat ketika mewakili negaranya di Piala Dunia Fifa di Afrika Selatan pada 2010.

Sepatutnya atlet adalah ikon untuk mempopularkan gaya hidup sihat dan menjaga kesihatan diri dengan baik, kata Dr. Ramlan

Menurut beliau, selama ini hanya isu doping yang diberi keutamaan sedangkan kelakuan negatif seperti merokok begitu juga dengan alkohol dalam kalangan atlet tidak dipandang serius.

“Kita sedang berusaha untuk mencapai ‘zero tolerance’ dalam isu doping dan dalam masa yang sama atlet kita perlu bebas daripada tabiat merokok dan lain lain.

Sudah sampai masanya untuk kita meningkatkan etika dalam sukan,” tegas beliau.

Menurut Dr. Ramlan, walaupun kandungan nikotin dalam rokok tidak menyebabkan seseorang atlet itu ‘tersangkut’ dalam ujian doping tetapi ia memudaratkan kesihatan atlet itu sendiri.

“Badan kita memerlukan oksigen.. jika atlet itu merokok, dia akan menambahkan kandungan karbon monoksida setiap kali dia menyedut asap rokok. Sebagai seorang atlet, mereka memerlukan banyak oksigen untuk menggantikan oksigen yang digunakan semasa bersukan.

“Jika mereka merokok secara kerap, ruang udara dalam badan akan mudah tersumbat. Ia akan menyukarkan oksigen disalurkan ke seluruh badan dan bahagian untuk otot. Mereka boleh mempunyai masalah pernafasan.

“Bila ada masalah pernafasan, pemulihan otot selepas aktiviti bersukan akan menjadi perlahan akibat kekurangan oksigen dalam badan.

“Malahan, kandungan nikotin yang terkandung dalam rokok juga boleh meresap masuk dalam saluran darah dan boleh menyebabkan timbul penyakit lain,” tegas beliau.

Beliau mengalu alukan atlet yang ingin berhenti merokok tetapi mengingatkan mereka supaya mencari alternatif lain untuk mengurangkan ketagihan.

“Sekarang ini ramai dan mungkin ada juga dalam kalangan atlet yang menggunakan Vapor atau rokok elektronik. Bagi saya, jika seseorang itu betul betul ingin berhenti merokok mereka tidak sepatutnya memilih alternatif yang bersangkutan dengan rokok.

“Tidak banyak kajian sahih mengenai kesan sampingan Vapor, ia masih ada persamaan… perokok tetap akan menyedut asap. Jika seseorang itu hendak berhenti merokok mereka perlu mengubah gaya hidup mereka,” katanya.