Seri Kembangan: Pemenang pingat emas acara olahraga pada Sukan Paralimpik Brazil 2016, Abdul Latif Romly dan dua atlet dari sukan akuatik, Nur Dhabitah Sabri dan Welson Sim menjadi tumpuan dalam edisi kali ini selepas menerima Anugerah Mutiara Inspirasi Sukan 2016 diatas kesungguhan mereka dalam Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik di Rio De Janeiro, Brazil tahun lalu.
Majlis anugerah yang berlangsung di Palace of The Golden Horses di Seri Kembangan siang tadi disempurnakan Timbalan Menteri Pendidikan 1, Dato’ P. Kamalanathan.
Bagi Abdul Latif Romly, penghargaan ini memberi suntikan semangat kepadanya dalam kejohanan terdekat iaitu pada Julai ini menerusi Kejuaraan Dunia di London.
Berbaki 100 hari menjelang saingan, Latif enggan terlalu mendabik dada sebaliknya mensasarkan catatan realistik iaitu memecahkan rekod kejohanan 7.35 meter sekaligus mempertahankan pingat emas yang dimenanginya di Doha, Qatar dua tahun lalu.
“Ketika ini saya berada dalam prestasi terbaik. Malah jurulatih turut meningkatkan tahap latihan untuk memantapkan kemahiran dan teknik sedia ada. Bagi saya Kejuaraan Dunia di London amat penting untuk melihat tahap kemampuan saya”, kata Latif.
Bercakap tentang Sukan SEA, Pemegang rekod dunia acara lompat jauh T20 ini juga bersedia menggalas tugas jika disenaraikan dalam kejohanan terbesar Asia Tenggara itu nanti.
Turut mendapat penghargaan perenang muda berusia 20 tahun, Welson Sim yang beraksi dalam dua acara pada Sukan Oimpik Rio tahun lalu.
Bagi Welson dia kini sedang giat menjalani latihan berdepan Sukan SEA Ogos ini dimana dia mensasarkan tiga pingat emas dalam acara 200 meter gaya bebas, 500 meter gaya bebas dan 1500 gaya bebas.
“Saya tidak sangka mendapat anugerah ini yang disifatkan mampu memberi lonjakan semangat kepada saya untuk terus berusaha keras pada masa akan datang,” kata Welson.
Ratu terjun negara, Nur Dhabitah Sabri yang meraih keputusan memberangsangkan pada Sijil Pelajaran Malaysia baru-baru ini turut menerima Anugerah Mutiara Inspirasi Sukan 2016.
Dhabitah yang baharu pulang dari Kazan Rusia semalam selepas beraksi pada Siri Dunia FINA menyifatkan kejayaan dalam kedua-dua bidang sukan dan pelajaran atas dorongan semua pihak seperti ibu bapa dan guru-guru yang sentiasa berada di belakangnya.
“Saya semakin mendapat rentak dan berpuas hati dengan prestasi di Kazan Rusia. Ini kerana dua Siri Dunia di China sebelum ini saya tidak dapat beraksi dengan baik kerana kekurangan latihan. Alhamdulillah tahap keyakinan saya semakin tinggi dan harap mampu memperbaiki prestasi akan datang,” jelas Dhabitah.
Dalam pada itu, pemegang rekod kebangsaan dalam acara 100 meter, Khairul Hafiz Jantan menerima anugerah utama, Anugerah Putera. Manakala pemain skuasy negara, Aifa Azman menerima Anugerah Puteri.
Senarai pemenang-pemenang Anugerah Sukan- Sukan Sekolah(MSSM) 2016:
- Anugerah Juara MSSM- MSSM Negeri Selangor
- Anugerah Mutiara Inspirasi Sukan-
- Abdul Latif Romly
- Nur Dhabitah Sabri
- Welson Sim
- Anugerah Tunas Harapan (Puteri)- Yasshmita Jadish Kumar(Skuasy)
- Anugerah Tunas Harapan (Putera)- Joachim Chua (Skuasy)
- Anugerah Pendidikan Khas (Puteri)- Felicia Mikat (Olahraga)
- Anugerah Pendidikan Khas (Putera) – Muhammad Rafique Farhan Saiful Nizam (Olahraga)
- Anugerah Khas (Puteri) – Sydney Chin (Wushu) – SSBJ
- Anugerah Khas (Putera) – Chuah Shang Yang (Wushu) – SSBJ
- Anugerah Guru Berjasa (Wanita) – Cheng Joo Suan (Akuatik)
- Anugerah Guru Berjasa (Lelaki) – Loh Ai Min (Bola Tampar) – SMK Tengku Mahkota Johor
- Anugerah Jurulatih Sukan Cemerlang – Mohd Poad bin Md Kassim (Olahraga) (SSTMI)
- Anugerah Tokoh Sukan (Kepimpinan) – Datuk Marina Chin
- Anugerah Puteri – Aifa Azman (Skuasy)
- Anugerah Putera – Khairul Hafiz Jantan (Olahraga) SSTMI