Bukit Jalil – Orang awam terutamanya para guru dan Ibu bapa perlu berwaspada dengan seorang individu lelaki yang mendakwa dirinya sebagai wakil dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang ditugaskan untuk mengurus pengambilan pelajar ke Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ). Suspek dikatakan telah datang ke Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka Pusat 2 baru-baru ini dengan membawa borang yang mempunyai logo KPM sambil menegaskan bahawa 2 orang pelajar dari sekolah itu telah layak dan terpilih untuk ke SSBJ.
Suspek kemudian berjumpa dengan ibu bapa kedua pelajar tersebut di rumah sebelum meminta bayaran sebanyak RM 250 sebagai yuran kemasukan ke SSBJ. Bagaimanapun, guru-guru di SMK Jengka Pusat 2 mengesyaki sesuatu yang tidak kena mengenai perkara itu lantas mereka melakukan carian di internet bagi mendapatkan kesahihan.
Alangkah terkejutnya mereka apabila mendapati suspek merupakan senarai dikehendaki pihak polis dalam kegiatan pemerdagangan manusia. Tindakan segera dilakukan oleh pihak sekolah dengan melaporkan kejadian itu kepada polis dan menyebabkan suspek melarikan diri.
Sementara itu, pejabat Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia menerusi satu kenyataan media nya menyebut berdasarkan dua (2) Laporan Polis yang telah dibuat oleh pihak awam mengenai tawaran kemasukan ke Sekolah Sukan Malaysia (SSM). Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ingin memaklumkan bahawa proses kemasukan ke SSM adalah berdasarkan tawaran yang dikeluarkan oleh Bahagian Sukan, KPM melalui sekolah masing-masing kepada murid yang berjaya dalam Ujian Kenal Pasti Bakat dan dipilih oleh Jawatankuasa Pemilihan Kemasukan SSM.
Oleh yang demikian, KPM ingin memaklumkan bahawa KPM TIDAK PERNAH melantik mana-mana individu atau pihak ketiga untuk memberi tawaran dan juga membuat pengambilan masuk murid ke Sekolah Sukan Malaysia. Malah pihak kementerian juga tidak pernah membenarkan mana-mana pegawai atau pihak ketiga mengenakan sebarang bayaran bagi tujuan yang sama.