Kuantan- Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) turut mendapatkan seorang Pakar Pemakanan Sukan dari Institut Sukan Negara (ISN) iaitu En. Mohd Qusyairy Ajmain Mohd Amin untuk memastikan setiap pemain mendapat amaun sesuai bagi kalori, nutrien dan vitamin yang diperlukan bagi perkembangan dan kekuatan tubuh badan pemain. Ianya dijalankan dengan membina program pemakanan yang berkualiti bertepatan dengan tugas pakar pemakanan sukan untuk membantu setiap pemain mendapatkan tubuh badan yang berada di tahap optimum.
Menurut Qushairy, tugasnya di kejohanan ini lebih tertumpu untuk memastikan setiap pemain mendapatkan bantuan pemakanan yang optimum terutama dalam membantu pemain mendapatkan tenaga secukupnya berikutan tahap aktiviti yang tinggi pada kejohanan ini dengan jadual perlawanan yang terlalu dekat.
Tambahnya lagi, antara aspek utama yang harus di utamakan pada kejohanan ini ialah tahap hidrasi setiap pemain untuk memastikan pemain sentiasa mempunyai keadaan hidrasi yang baik. Antara ujian yang dilakukan bagi menguji tahap hidrasi pemain ialah Urine Specific Gravity (USG) yang dilakukan pada awal pagi.
Bukan setakat itu sahaja, Qushairy turut memantau penyediaan dan setiap jenis hidangan makanan bagi memastikan setiap pemain mendapat makanan yang sihat dengan saiz hidangan yang betul. Ini bertujuan untuk setiap pemain mendapat berat badan yang ideal memandangkan berat badan pemain juga akan dipantau dari masa ke semasa.