KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) — Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli dilantik sebagai timbalan chef de mission (CDM) negara ke Sukan SEA Filipina 2019 bermula, November ini,
Keputusan itu diumumkan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan MOM yang turut dihadiri Ahmad Faedzal di Wisma MOM di sini, hari ini.Menurut Mohamad Norza, MOM masih meneliti nama bagi melantik seorang lagi timbalan CDM untuk digandingkan bersama Ahmad Faedzal dalam membantu CDM, Datuk Datuk Megat Zulkarnain Omardin melaksanakan tugasnya sepanjang penganjuran temasya dwitahunan itu.
“Seperti semua tahu bahawa daripada dua CDM itu satu hadir dari peringat kementerian sementara satu daripada pihak MOM. Dari pihak kementerian, mereka hanya mencadangkan Ahmad Faedzal. Apabila kita sudah ada dua-dua nama nanti, kita akan umumkan,” katanya.
Ahmad Faedzal, 40, merupakan bekas Timbalan Pengarah Bahagian Perkhidmatan Sosial, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi sebelum dilantik sebagai CEO ISN pada pertengahan Februari lalu.
Bagi Ahmad Faedzal, tanggungjawab diberikan itu merupakan satu pengiktirafan tertinggi dan membuka peluang kepada golongan lebih muda untuk turut sama menyumbang bakti.Beliau mengakui antara cabaran besar menantinya adalah pengurusan kontinjen negara di Filipina berjalan lancar selain menyaingi jumlah pungutan 62 pingat emas diraih Malaysia pada edisi 2015 yang menjadi pencapaian terbaik kontinjen negara di luar negara.