Putrajaya, 28 Februari 2019 – Dua (2) pegawai penyelidik ISN, En.Mohd Zaid Bin Mohd Ghazali dan En.Suresh A/L Marathamuthu dari Cawangan Penyelidikan Translasi, Bahagian Penyelidikan dan Inovasi ISN telah terlibat sebagai Ex-Officio kajian Indeks Budaya Sukan 2018 sejak Februari 2018 di beberapa peringkat pembangunan domain dan indikator serta semakan dan pemurnian instrumen kajian secara keseluruhan. Kajian komprehensif ini merupakan satu mekanisme penilaian berhubung tahap budaya sukan di Malaysia yang pertama diwujudkan bukan sahaja di peringkat nasional tetapi peringkat dunia. Terdapat sebanyak 5 Domain dan 8 Indikator telah digunakan semasa kajian dilaksanakan. Hasil dapatan utama Indeks Budaya Sukan 2018 telah menunjukkan pencapaian skor indeks adalah 53.1% iaitu menggambarkan budaya sukan rakyat Malaysia berada pada tahap sederhana.. Dapatan indeks ini diharapkan dapat membantu para pemegang taruh berkaitan memperhebatkan lagi program penyelidikan intervensi lanjutan serta pembudayaan sukan ke arah Negara Sukan (sporting nation).
Inisiatif kebangsaan ini telah diterajui oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) KBS dengan kerjasama pemegang taruh berkepentingan seperti JBSN,ISN,MSN,KKM,KPM serta barisan pakar rujuk universiti tempatan. Majlis pelancaran Indeks Budaya Sukan Malaysia 2018 telah disempurnakan oleh YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Menteri Belia dan Sukan di Dewan Podium, Menara KBS pada 28 Februari 2019.