PERKHIDMATAN fisioterapi dan rehabilitasi sukan di Institut Sukan Negara (ISN) menyumbang sebahagian besar proses rawatan kecederaan sukan kepada atlet yang mengalami kecederaan. Untuk atlet berprestasi tinggi, khidmat fisioterapi dan rehabilitasi amat diperlukan bagi membolehkan mereka dapat pulih serta kembali beraksi seperti sedia kala.
Kita sering mendengar tentang kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL), namun, tidak ramai mengetahui proses pemulihan yang harus dijalani oleh atlet terbabit.
Dalam ruangan Di Belakang Tabir kali ini, Wartawan Utusan Malaysia, ZAZALI JAMIAN mendapatkan penerangan daripada Ketua Cawangan Rehabilitasi Sukan ISN, FAEZAH MD. JAIS berhubung perkhidmatan diberikan kepada atlet yang berdepan masalah ACL.
DAHULU atlet amat takut jika disahkan menga­lami ACL kerana tempoh pemulihan yang lama, selain, tiada pengetahuan untuk menghadapi kecederaan berkenaan yang akhirnya menyebabkan mereka berdepan trauma sekali gus menjejaskan tahap prestasi.
Kini semuanya sudah berubah apabila proses pemulihan ACL melibatkan atlet dapat dihadapi dengan baik, malah, turut mendapat bantuan peralatan terkini selari dengan kemajuan teknologi semasa.
Semua ini adalah perkhidmatan yang disediakan oleh Cawangan Rehabilitasi Sukan ISN bagi memastikan atlet yang berdepan kecederaan ACL tidak menganggapnya sebagai satu mimpi ngeri.
Faezah berkata, fisioterapi di ISN menggunakan pelbagai peralatan berteknologi terkini yang terbukti dapat membantu di dalam mempercepatkan proses pemulihan kecederaan sukan seperti ACL.
“Antara yang terkini adalah seperti ‘Anti-Gravity Treadmill’ (Alter-G), ‘Force plate Treadmill’ dan banyak lagi.
“Dalam menjalankan proses rehabilitasi, pengetahuan terkini serta amalan ‘high quality clinical practice’ seperti perskripsi senaman yang bersesuaian dengan jenis dan fasa kecederaan terbukti menjadi keutamaan.
“Proses pemulihan yang mantap juga dilihat dapat meminimumkan risiko daripada berlakunya kecederaan ulangan serta permasalahan seperti osteoarthritis yang merupakan suatu proses degeneratif yang sering berlaku dalam kalangan atlet serta sukar untuk dielakkan,” kata Faezah.
Kebiasaannya atlet yang mengalami ACL akan menjalani proses rehabilitasi secara fokus mengikut kemampuan dan ansur maju bagi pemulihan individu dengan meliputi komponen-komponen seperti latihan rintangan, senaman neuromuskular, fungsi aktiviti tahap tertinggi serta meliputi latihan spesifik mengikut sukan diceburi oleh seseorang atlet.
Atlet yang menjalani proses rehabilitasi juga akan dipastikan dapat melepasi ujian-ujian khas mengikut kriteria tertentu sebelum dibenarkan kembali semula kepada aktiviti sukan.
Sesi rehabilitasi tidak sekadar melibatkan peringkat fizikal, malah, atlet juga akan diberi sokongan pasca kecederaan seperti sesi pendidikan yang dapat membantu menekankan langkah-langkah pencegahan berlakunya kecederaan ulangan.
Jelas Faezah, tempoh masa yang diambil untuk pulih selepas kecederaan ACL bergantung kepada beberapa faktor antaranya adalah teknik pembedahan, kadar pemulihan setiap individu, jenis sukan yang diceburi, kualiti program rehabilitasi serta motivasi atlet itu sendiri.
“Secara tipikal, ia mengambil masa antara enam hingga 11 bulan tetapi atlet perlu menjalani dan memenuhi kriteria beberapa siri ujian fizikal. Persediaan daripada aspek psikologi juga harus ditekankan terlebih dahulu sebelum dibenarkan untuk kembali bersukan pada tahap yang tinggi,” kata Faezah.
Dalam pada itu, Faezah turut mendedahkan cabaran yang tidak boleh dilupakannya sepanjang karier sebagai pegawai pemulihan perubatan ialah ketika berdepan atlet yang menjalani pembedahan ACL, namun, dijangkiti kuman pada bahagian yang dibedah hingga menyebabkan dua pembedahan susulan terpaksa dijalankan.
“Proses rehabilitasi mengambil masa lebih kurang tiga tahun yang mana sepatutnya hanya di antara enam hingga sembilan bulan pada masa itu.
“Sepanjang proses rehabilitasi berkenaan, kami secara tidak langsung turut bersama-sama berusaha membantu atlet tersebut bersemangat untuk pulih serta mengembalikan fungsi optimumnya agar dapat menjalani latihan serta bertanding kembali.
“Apa yang lebih manis, apabila atlet itu berjaya memenangi kejohanan yang disertainya selepas pulih daripada kecederaan berkenaan,” kata Faezah.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/acl-bukan-penamat-karier-atlet-1.874487#ixzz5kbqLTBOQ
© Utusan Melayu (M) Bhd