KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menegaskan, pemilihannya sebagai Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) adalah mandat besar yang memerlukan beliau bekerja lebih keras.
Norza yang juga Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) percaya, melontarkan idea-idea baharu adalah sesuatu yang diharapkan oleh ahli gabungan MOM yang memilihnya untuk menduduki kerusi No. 2 tersebut.
Malah, Bendahari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu juga percaya, kombinasi barisan kepimpinan yang dipilih bagi penggal 2015-2017 bakal membawa perubahan positif.
“Saya sangat terharu dengan kemenangan ini. Saya melihat bahawa beberapa perwakilan telah memberi mandat yang begitu besar.
“Apabila pemilihan ini selesai, saya mahu semua yang telah menawarkan diri tidak kira daripada (persatuan) mana, bersatu terutama dalam memikirkan cara untuk menjadi tuan rumah terbaik pada (Sukan SEA) 2017.
“Turun ke bawah dan jumpa persatuan-persatuan sukan bagi meninjau persediaan atlet yang akan meneruskan program latihan selepas Sukan SEA (Singapura) baru-baru ini,” katanya selepas mesyuarat pemilihan pucuk pimpinan MOM di Wisma OCM, di sini semalam.
Jawatan Timbalan Presiden kali ini bertukar tangan menyaksikan Norza merampas kerusi No. 2 itu daripada penyandang terdahulu, Tan Sri Mohamad Noor Abdul Rahim setelah memenanginya dengan kelebihan 52 undian.
Mengulas mengenai komitmennya dalam MOM memandangkan Norza sudah memegang tiga jawatan besar dalam sukan tempatan iaitu Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Bendahari FAM dan Timbalan Presiden BAM, beliau tetap yakin untuk menggalas tugas tersebut dengan baik.
“Saya percaya bahawa saya mampu memberikan masa secukupnya untuk meneruskan tanggungjawab dalam jawatan-jawatan lain walaupun hari ini (semalam) saya dipilih menjadi Timbalan Presiden MOM.
“Perwakilan yang hadir hari ini semuanya sudah matang dalam menilai daripada segi prestasi dan kebolehan calon-calon.
“Perwakilan telah mengikut citarasa mereka dan mereka memberi saya peluang untuk berkhidmat dengan MOM berlandaskan pengalaman saya dalam arena sukan.
“Selain jawatan dalam persatuan, saya juga Ketua Kontinjen Sukan SEA Singapura,” ujarnya.
Sumber : Bernama