MANFAAT BESAR PSIKOLOGI SUKAN

KOTA KINABALU, 3 OGOS 2015 – Pada masa sekarang, kebanyakan atlet elit menyedari kepentingan latihan psikologi untuk pertandingan dan ramai atlet hebat turut berkata sisi mental dalam persaingan memainkan peranan penting untuk menentukan hasilnya.

Justeru, aspek mental dan fizikal prestasi atlet semakin penting berbanding dulu, dimana jurulatih dan atlet sebelum ini hanya menumpukan sepenuh fokus pada bahagian fizikal persembahan mereka.

Untuk memaksimumkan aspek mental atlet Sukma Negeri, Kementerian Belia dan Sukan Negeri menugaskan Pusat Satelit Institiit Sukan Negara (ISN) di Sabah untuk mengusahakannya, dan menurut Pegawai Psikologi Sukan, Nursyaditina Ain Darussamin, mereka berada pada halatuju yang betul.

“Atlet kita menerima banyak manfaat daripada ilmu pengetahuan yang kami kongsikan dan tugas utama kami adalah memaksimumkan keupayaan mereka dalam bidang masing-masing menerusi psikologi sukan.

“Apa yang ingin kami tekankan adalah pengurusan mental dan atlet akan ditetapkan sasaran tertentu untuk pencapaian mereka dalam pertandingan yang mereka sertai.”

Katanya, sembilan atlet karate Negeri yang mengambil bahagian pada Kejohanan Karate Terbuka Thailand adalah contoh terbaik untuk menunjukkan bagaimana ia dapat memperbaiki kekuatan mental mereka.

“Semua atlet kecuali seorang adalah peserta kali pertama acara antarabangsa dan mereka perlu mencuba latihan mental yang telah mereka lalui; sebelum bercakap dengan diri sendiri, ‘ pengimejan dan penenangan, antara lain.

“Paling mustahak bagi mereka adalah penangan kerana mereka perlu bertenang sepanjang perlawanan mereka, terutama dengan wujudnya tekanan bersaing dalam acara antarabangsa yang disertai banyak negara asing.

“Tugas saya adalah memberi motivasi, memantau mood mereka ketika pertandingan dan juga kami akan melakukan penilaian sebelum dan ketika pertandingan, disusuli postmortem sekembalinya mereka ke sini, dan saya juga akan berjumpa mereka mengikut jadual.”

Beliau mendedahkan, atlet karate yang bertanding di Thailand tidak ditetapkan sebarang sasaran dan penyertaan mereka hanya berfungsi sebagai platform untuk menguji kekuatan mental mereka.

“Ia hanya sekadar rutin latihan bagi kekuatan mental mereka dan juga menimba pengalaman bagi mereka yang akan beraksi pada Sukma tahun depan, dan saya mahu melihat mereka mampu mengawal emosi mereka, kekal fokus, mempertingkat pengimejan mental mereka serta suntikan kata-kata peransang kepada diri sendiri.

“Dan dalam postmortem, video akan ditunjukkan kepada mereka, agar mereka dapat melihat sendiri mood dan ekpresi wajah mereka ketika pertandingan dan ini amat mustahak kerana saya mahu mereka menampilkan ekspresi wajah yang lebih baik, fokus pada pertandingan akan datang.

“Kata beliau, pada dasarnya, psikologi sukan dapat mengajar atlet cara untuk mengenalpasti faktor yang menjurus kepada persembahan baik dan juga sebaliknya.