SARAWAK JANJI SEMUA VENUE, KEMUDAHAN SIAP TIGA BULAN SEBELUM SUKMA 2016

Kuching – Sarawak memberi jaminan yang semua venue dan kemudahan sukan untuk Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 yang akan dianjurkannya akan sedia sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum temasya sukan dwi tahunan itu.

Pembantu Menteri Belia Sukan, Datuk Leo Khim Shin berkata ini adalah bagi memastikan sukan tersebut, dijadulakan berlangsung pada 21 hingga 31 Julai, berjalan dengan lancar.

“Sebahagian kemudahan berada pada peringkat awal pembinaan manakala sebahagiannya telah hamper siap, dan kami berusaha sebaik mungkin untuk memastikan semua kemudahan siap sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum sukan itu bermula,” katanya kelmarin.

Katanya, SUKMA akan diadakan di tiga venue iaitu Kuching, Miri dan Sibu. Acara pelayaran dan karate akan berlangsung di Miri manakala Sibu akan menjadi tuan rumah untuk acara bola tampar dan badminton, tambahnya.

Menurut Lee, Institut Sukan Negara (ISN) juga akan mengadakan pelbagai kursus bagi menghasilkan pegawai-pegawai teknikal yang berkelayakan dan mencukupi bagi menguruskan SUKMA.

Berkenaan hasrat Sarawak untuk merampas gelaran juara, keseluruhan SUKMA, Lee berkata latihan atlet sedang berjalan dan Majlis Sukan Negeri Sarawak sedang mengkaji prestasi jurulatih sambil pengurusan sukan dan kursus sains sukan turut diadakan untuk persatuan dan pegawai sukan.

Katanya, usaha sedang dijalankan untuk mengambil jurulatih-jurulatih yang bagus, termasuk jurulatih asing, untuk melatih para atlet.

“Atlet kami kini sedang melalui pelbagai program latihan di pusat-pusat latihan kami dan menjelang akhir tahun ini, sebahagian pemilihan telah selesai dijalankan,” katanya.

Lee berkata sebahagian atlet juga akan dihantar bagi mendapatkan pendedahan di luar negara selain bertanding di luar Sarawak.

“Kami mahu atlet-atlet kami mendapat lebih banyak pengalaman dan pendedahan kerana kita mesti faham yang pasukan-pasukan dari Semenanjung Malaysia dan Sabah juga membuat persediaan rapi untuk sukan ini,” katanya.

Sumber : Bernama