Terkubur

Impian Datuk Ong Kim Swee mengemudi pasukan B-23 negara mara ke pusingan kedua pada Sukan Asia Incheon berkubur semalam.
Semuanya gara-gara kad merah yang dilayangkan kepada pertahanan kiri negara, Zubir Azmi sekali gus menyaksikan Malaysia kecundang 0-3 kepada Arab Saudi pada perlawanan terakhir Kumpulan A di Stadium Goyang.
Malaysia amat memerlukan kemenangan pada perlawanan itu untuk mara selepas menang sekali dan kalah sekali sebelum ini.
Keputusan seri juga akan menyaksikan mereka tersingkir.
Zubir menerima kad kuning kedua sekali gus kad merah daripada pengadil Thailand, Sivakorn Pu Udom pada minit ke-33 dan ia menjejaskan rentak permainan selepas berjaya mempamerkan aksi lebih baik berbanding dua perlawanan terdahulu.
“Kami memulakan perlawanan dengan peluang 50-50 untuk menundukkan lawan, tapi sebaik kami bermain dengan 10 pemain, ia menyukarkan tugas menentang pasukan Arab Saudi yang seimbang di semua posisi.
“Sentuhan Zubir itu tidak kasar dan saya tidak fikir perlu diberikan kad merah.
Pengadil perlawanan turut memainkan peranan kerana menyebabkan perancangan kami terjejas,” kata Kim Swee selepas perlawanan.
Arab Saudi mengambil kesempatan berikutan kepincangan skuad negara apabila menjaringkan tiga gol pada babak kedua menerusi tandukan kapten Abdullah Al-Hafith pada minit ke-56, diikuti gol Majed Kanabah (minit ke-72) dan penyerang gantian, Ahmed Al-Shehri tujuh minit sebelum tamat.
Ketiadaan Zubir menyebabkan Kim Swee merombak posisi pemainnya pada babak kedua dengan pemain tengah, Junior Eldstal berseorangan sebagai penyerang namun ia tidak membuahkan hasil apabila Arab Saudi menghukum kesilapan benteng pertahanan negara yang agak leka dan kurang berwaspada.
Kim Swee, 43, yang mengemudi Malaysia mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Indonesia tiga tahun lalu turut gagal di Myanmar tahun lalu.
Sumber : Harin Metro