Kempen Piala Malaysia 2013 yang akan membuka tirai malam ini, bakal menyaksikan pertembungan 16 pasukan bersaing untuk merebut trofi bola sepak terunggul tanah air itu. Sebelum sepak mula kempen Piala Malaysia, mari kita imbas kembali sejarah perkembangan Piala Malaysia yang telah yang meneruskan legasinya sehingga kini.
Tahukah anda? Bolasepak ialah satu-satunya jenis sukan yang diperkenalkan di Negara ini dalam abad ke-19. Perlawanan- perlawanan yang dilangsungkan di sini ialah di antara Singapura menentang pasukan Negeri-negeri Selat. Ada kemungkinan bola sepak diperkenalkan di Perak dan Selangor terlebih dahulu. Ianya kemudian merebak ke negeri-negeri lain.
Pasukan-pasukan yang ditubuhkan di sini lebih bersifat perkauman waktu itu yang terdiri dari kelab Selangor (untuk orang Eropah), Kelab Sultan Sulaiman (untuk orang melayu), United Chinese (untuk orang Cina) dan Tamil Union (untuk orang India).
Tahun 1920 sebuah kapal perang Inggeris iaitu HMS Malaya telah membuat lawatan ke semenanjung. Mereka telah membawa sama dua buah piala untuk dipertandingkan iaiu untuk bola sepak dan ragbi. Dari situlah bermulanya pertandingan bola sepak Piala HMS Malaya. Pada masa itu kelab Selangor paling aktif.
Oleh itu Kelab Selangor telah diberi tanggungjawab menguruskan pertandingan bola sepak dang ragbi bagi merebut Piala HMS Malaya pada tahun 1921. Semua perlawanan-perlawanan akhir waktu itu dilangsungkan di Padang Kelab Selangor Kuala Lumpur. Selangor,Perak,Negeri Sembilan,Melaka dan Johor serta Singapura merupakan pasukan-pasukan pertama yang menubuhkan persatuan.
Tahun 1926 Persatuan Bola Sepak Malaya pula ditubuhkan. Persatuan ini semakin lama semakin tersusun dan pada tahun 1933 telah menubuhkan satu jawatankuasa Piala Malaya untuk melicinkan kejohanan ini.
Selangor dan Singapura merupakan ‘gergasi’Piala Malaya waktu itu. Selangor misalnya waktu itu mempunyai seorang permain midfied yang handal bernama T. Mori yang dilahirkan di Jepun tetapi berpindah ke sini. Perak pula mempunyai beberapa pemain handalan yang sering menggugat kewibawaan Selangor dan Singapura.
Tahun 1940 Kedah yang mendapat bimbingan dari YAM Tunku Abdul Rahman Putra dan saudara kandungnya Tunku Yacob telah mengejutkan dua gergasi itu dengan melayakkan diri ke perlawanan akhir. Perlawanan yang berlangsung di stadium Ampang itu Berjaya menarik 15,000 penonton dan Kedah dengan bergaya sekali menumpaskan Singapura 2-0.
Perang meletus menyebabkan kegiatan kejohanan ini terhenti dalam tahun 1942. Tahun 1948 kejohanan ini dihidupkan semula dan Negeri Sembilan buat pertama kalinya muncul sebagai juara di bawah bimbingan Kwan Soon Teck. Begitu pun Singapura terus menguasai arena ini manakala Pulau Pinang mula menunjukkan kegarangan mereka.
Tahun 1967 Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah bersetuju untuk menyimpan sahaja Piala HMS Malaya dan digantikan dengan Piala Malaysia. Perak merupakan pasukan pertama memenangi Piala Malaysia ini selepas mengalahkan Singapura.
Corak Pertandingan
Pertandingan Piala Malaya dilangsungkan secara ‘zone’ dan pemenang setiap zon akan berentap sesama sendiri untuk memilih dua pasukan terbaik bermain di perlawanan akhir. Sebab-sebab pertandingan ini dijalankan secara zon adalah disebabkan kesukaran dari segi pengangkutan dan juga perbelanjaan yang besar.
Dalam tahun 1967 pertandingan Piala Malaya ditukar kepada pertandingan Piala Malaysia bagaimanapun corak pertandingan tidak berubah.
Tahun 1979 Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil langkah yang cukup drastik dengan memperkenalkan sistem liga satu pusingan. Empat pasukan yang menduduki tangga teratas selepas tamat satu pusingan akan layak ke separuh akhir dan pemenangnya ke final.
Konsep baru ini ternyata begitu berjaya sekali dan dua tahun kemudian FAM membuat satu lagi perubahan menarik iaitu lapan pasukan teratas layak ke suku akhir. Dua langkah besar ini telah dapat meningkatkan lagi kemeriahan pertandingan, pungutan wang serta para pemain sendiri dapat menajamkan lagi permainan mereka.
Tahun 1982 FAM mendapat idea baru. Kali ini mereka memperkenalkan pula Piala Liga. Piala ini diberi kepada pasukan yang dapat menduduki tangga teratas selepas tamat satu pusingan. FAM berpendapat pasukan yang mampu menunjukkan keupayaan yang konsisten sepanjang musim perlu diberi anugerah ini. Juala Piala Liga yang pertama ialah Pulau Pinang.
Malam ini, Piala Malaysia terus menjadi tumpuan bagi setiap peminat bolasepak negara dan dengan harapan yang tinggi mutu Bolasepak negara terus meningkat dari masa ke semasa.
Berikut undian Piala Malaysia 2013:
KUMPULAN A:
Selangor
Angkatan Tentera Malaysia
Sime Darby
Johor
KUMPULAN B:
Johor Darul Takzim
PKNS FC
T-Team
Felda United
KUMPULAN C:
Kelantan
Pahang
Terengganu
Negeri Sembilan
KUMPULAN D:
Lions XII
Perak
Sarawak
Kedah