Institut Sukan Negara (ISN) terus memainkan peranan utama dalam memastikan kesiapsiagaan atlet negara menjelang Temasya Sukan Para ASEAN Ke-13 yang berlangsung dari 20 hingga 26 Januari 2026 di Thailand, melibatkan kluster Nakhon Ratchasima dan Bangkok.
Bagi edisi ini, semua atlet yang layak secara merit telah menjalani saringan kesihatan dan kecederaan di ISN. Atlet turut menerima perkhidmatan pemulihan serta konsultasi sains dan perubatan sukan sepanjang fasa latihan akhir bagi memastikan persediaan fizikal dan mental berada pada tahap optimum.
Kontinjen negara yang diketuai oleh En. Mohd Zarrawi Ravi bin Abdullah selaku Chef de Mission akan membawa seramai 361 orang, terdiri daripada 246 atlet dari 18 jenis sukan serta 115 pegawai pasukan termasuk jurulatih, pengurus pasukan, sekretariat dan TEAM ISN.
Bagi menyokong kontinjen ini, ISN menggerakkan seramai 24 pegawai pelbagai kepakaran seperti doktor, fisioterapi, terapi sukan, psikologi sukan, pemakanan sukan, biomekanik, fisiologi senam dan suaian fizikal. Pasukan ini ditempatkan di dua kluster utama bagi memastikan perkhidmatan dapat diberikan secara menyeluruh dan pantas.
Antara perkhidmatan utama ialah pemulihan (ice bath, pneumatic compression, urutan sukan), rawatan fisioterapi, pre-game activation, konsultasi kesihatan dan perubatan, pemantauan psikologi sukan serta penilaian hidrasi, berat badan dan pemakanan.
Dalam tempoh persediaan, ISN menggunakan pendekatan berasaskan data sains dan teknologi sukan merangkumi aspek biomekanik, fisiologi, mental, pemakanan dan kecergasan. Penilaian prestasi dijalankan secara saintifik bagi membantu jurulatih merancang latihan yang lebih tepat dan bersasar.
Melalui saringan kesihatan, pencegahan kecederaan dan program rehabilitasi sukan, ISN memastikan atlet dapat kembali ke tahap optimum dan bersedia sepenuhnya untuk bertanding.
Sokongan menyeluruh ISN ini diyakini mampu membantu kontinjen negara memberikan persembahan terbaik serta mengharumkan nama Malaysia di Temasya Sukan Para ASEAN Ke-13, Thailand.