Institut Sukan Negara (ISN) berbesar hati mengumumkan pelantikan baharu barisan Ahli Lembaga Institut bagi Penggal Kelapan, yang berkuat kuasa mulai 19 November 2025 untuk tempoh dua tahun sehingga 2027. Pelantikan ini dibuat selaras dengan peruntukan Seksyen 7, Akta Institut Sukan Negara 2011 [Akta 729], yang menetapkan komposisi ahli Lembaga Institut merangkumi wakil profesional, pakar perubatan, kementerian, agensi teknikal, badan sukan kebangsaan serta individu berwibawa dalam bidang masing-masing.
PENGHARGAAN TERHADAP INISIATIF DAN REFORM ISN SEJAK 2023
Sejak pelantikan Lembaga Institut terdahulu pada 6 Oktober 2023, ISN telah berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif strategik dan reform penting yang memperkukuhkan ekosistem sukan berprestasi tinggi negara. ISN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ahli Lembaga Institut penggal 2023–2025 atas kepimpinan, bimbingan dan komitmen terhadap pencapaian-pencapaian berikut:
1. Penubuhan Klinik Kesihatan Wanita Pertama ISN (Oktober 2023)
Penubuhan Klinik Kesihatan Wanita merupakan pencapaian bersejarah yang memberi fokus khusus kepada aspek kesihatan, fisiologi dan prestasi atlet wanita. Inisiatif ini memperkukuhkan usaha penyediaan perkhidmatan perubatan sukan berasaskan bukti dan keperluan gender.
2. Tapisan Keselamatan Jurulatih Berdaftar di Bawah Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (2024)
Mulai 2024, ISN melaksanakan prosedur tapisan keselamatan mandatori bagi jurulatih berdaftar bagi memastikan integriti, akauntabiliti dan persekitaran sukan yang lebih selamat. Usaha ini meningkatkan kepercayaan umum terhadap sistem kejurulatihan sukan negara.
3. Pelancaran TASKA Team MAS di ISN (April 2025)
TASKA Team MAS diwujudkan sebagai kemudahan sokongan keluarga kepada atlet dan petugas prestasi tinggi, sekaligus mengukuhkan kesejahteraan holistik atlet. Inisiatif ini membolehkan mereka menjalani latihan dan rehabilitasi dengan lebih fokus serta mengurangkan tekanan sosial dan logistik.
4. Akses Perkhidmatan kepada Atlet Berprestasi Tinggi di Luar Program MSN
ISN telah memperluas akses perkhidmatan sains sukan dan perubatan sukan kepada atlet berprestasi tinggi tertentu di luar program MSN berdasarkan penilaian kes demi kes. Langkah ini menunjukkan komitmen ISN dalam menyokong bakat elit tanpa mengira struktur program tradisional.
5. Pemeterian MOU Kerjasama Strategik ISN–PERKESO (Ogos 2025)
Kerjasama dengan PERKESO memperkukuhkan perlindungan kebajikan atlet melalui akses kepada program keselamatan sosial, rawatan rehabilitasi dan pemulihan kecederaan. MOU ini menjadi model kolaborasi rentas agensi untuk memastikan kebajikan atlet sentiasa terjamin.
SENARAI AHLI LEMBAGA INSTITUT — PENGGAL KELAPAN (2025–2027)
YBhg. Datuk Chin Leng Sim @ Marina Chin
Pengerusi Lembaga Institut
YBrs. Dr. Vellapandian Ponnusamy
Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Sukan Negara
YBrs. Puan Chan Hong Jin
Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik), Kementerian Belia dan Sukan
Encik Idwan Ariff bin Abdul Rahman
Pendaftar Agensi Pelaporan Kredit, Kementerian Kewangan
YBhg. Dato’ Dr. Mohd Azman bin Yacob
Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia
Puan Fazidah binti Mustafa
Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pendidikan Tinggi
Encik Ithnin bin Mahadi
Ketua Jabatan, Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan
Encik Jefri bin Ngadirin
Ketua Pengarah, Majlis Sukan Negara
YBhg. Datuk Dr. Wira Nur Azmi bin Ahmad
Timbalan Presiden, Majlis Olimpik Malaysia
YBhg. Prof. Dato’ Seri Dr. Jeffrey Jeswant Dillon
Pengarah Sukan dan Kecergasan Kardiovaskular
Pakar Perunding Kanan Bedah Kardiotorasik, Institut Jantung Negara
YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman
Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan PERKESO
YBhg. Datuk Leong Mun Yee
Jurulatih Akuatik Terjun Negara
Encik Krishnakumar a/l Kalimuthu
Pengasas dan Presiden, Persatuan Pengusaha Gimnasium Malaysia
Komitmen ISN Terhadap Masa Depan Sukan Negara
Pelantikan Ahli Lembaga Institut yang baharu mencerminkan komitmen berterusan ISN dalam memperkukuhkan tadbir urus, kepimpinan strategik serta pembangunan ekosistem sukan berprestasi tinggi negara, merangkumi bidang sains sukan, perubatan sukan dan teknologi sukan.
Turut menyerlah dalam pelantikan kali ini ialah kehadiran wakil daripada Institut Jantung Negara (IJN) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), dua rakan strategik penting ISN. Kedua-dua tokoh ini bukan sahaja membawa kepakaran khusus dari institusi masing-masing, tetapi juga memperluas sinergi strategik IJN–ISN dan PERKESO–ISN yang telah pun memberi manfaat langsung kepada atlet negara.
ISN yakin bahawa barisan kepimpinan baharu ini akan terus memperkasa agenda pembangunan atlet negara, memacu penggunaan inovasi dan teknologi sukan terkini, serta menyokong aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab sukan berprestasi tinggi di peringkat serantau dan global.