Dengkil, 12 Ogos 2025– Lawatan kerja YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri, ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Dengkil hari ini turut menyaksikan komitmen Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Institut Sukan Negara (ISN) dalam memperkasa elemen pemulihan berasaskan sukan dan kesihatan fizikal.
Dalam lawatan tersebut, KBS yang diketuai oleh YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan, menyerahkan kemudahan “Transform GYM” kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk dimanfaatkan oleh klien-klien dan warga PUSPEN Dengkil. Kemudahan ini dibangunkan dengan kepakaran teknikal ISN yang menekankan aspek pemulihan holistik – menggabungkan kecergasan fizikal, kesihatan mental dan disiplin kendiri melalui aktiviti sukan.
Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Dr. Vellapandian Ponnusamy, berkata pembinaan gimnasium ini bukan sekadar menyediakan ruang senaman, tetapi merupakan platform terapi aktif yang mampu meningkatkan tahap kecergasan, keyakinan diri dan motivasi klien. “Pendekatan sukan dalam pemulihan dadah bukan sahaja membantu membina fizikal yang lebih sihat, tetapi juga membentuk minda yang lebih positif dan berdaya tahan,” ujarnya.
YAB Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Membanteras Dadah (JKMD) menegaskan, inisiatif ini selaras dengan agenda Kerajaan Malaysia MADANI untuk membanteras dadah sebagai musuh nombor satu negara. Beliau menambah bahawa kerjasama strategik antara KBS, ISN, KDN dan AADK mencerminkan pendekatan menyeluruh – bukan hanya penguatkuasaan, tetapi turut memberi penekanan kepada pencegahan, rawatan dan pemulihan.
Dengan Transform GYM sebagai simbol kolaborasi erat antara kementerian, KBS melalui ISN berharap pendekatan berasaskan sains sukan ini dapat menjadi model kepada pusat-pusat pemulihan lain di seluruh negara. Usaha ini membuktikan bahawa intervensi sukan dan aktiviti fizikal mampu menjadi pemangkin penting dalam memutuskan kitaran penagihan dan membina semula kehidupan yang lebih sejahtera.