Bukit Jalil, 25 Februari 2025 – Institut Sukan Negara (ISN) hari ini melakar satu lagi detik penting dalam sejarahnya dengan berlangsungnya Majlis Serah Terima Tugas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ISN, di antara YBrs. Encik Ahmad Faedzal Md. Ramli dan YBrs. Dr. Vellapandian Ponnusamy yang dilantik sebagai CEO ISN yang baharu.
Majlis yang berlangsung di ISN, Bukit Jalil ini telah disaksikan oleh YBhg. Datuk Marina Chin, Pengerusi Lembaga ISN, bersama kepimpinan serta warga ISN.

Dalam ucapannya, Encik Ahmad Faedzal menzahirkan penghargaan atas sokongan seluruh pasukan ISN sepanjang tempoh enam tahun kepimpinannya, yang menyaksikan pelbagai inisiatif dan pembaharuan dalam sains sukan, perubatan dan teknologi sukan.
“Saya amat berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada perjalanan transformasi ISN. Saya yakin di bawah kepimpinan Dr. Vellapandian, ISN akan terus berkembang sebagai institusi utama dalam memacu kecemerlangan sukan negara,” katanya.

Sementara itu, Dr. Vellapandian dalam ucapan sulungnya sebagai CEO ISN menekankan komitmennya untuk meneruskan agenda pemerkasaan ISN, memperkukuhkan sains, perubatan dan teknologi sukan, serta pembangunan atlet berprestasi tinggi.
“Saya amat berbesar hati diberi kepercayaan untuk menerajui ISN. Dengan pengalaman dan kepakaran yang ada, saya berharap dapat membawa ISN ke tahap lebih tinggi, selaras dengan visi untuk memacu kecemerlangan sukan Malaysia,” katanya.

Majlis ini menandakan permulaan era baharu bagi ISN, dengan harapan dan keyakinan bahawa kepimpinan baharu ini akan terus membawa kejayaan dalam arena sukan negara.
#TeamISN#BeyondPerformance#Sukan#KepimpinanSukan#SainsSukan#PerubatanSukan#TeknologiSukan#TeamKBS#KitaSemuaTeamMAS