KUALA LUMPUR: Kem berbasikal negara mendapat suntikan dalam perjuangan membutirkan emas pertama Sukan Olimpik Paris 2024 apabila bakal menerima basikal baharu WX-R Vorteq versi temasya itu yang telah diperkasakan melalui proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) Institut Sukan Negara (ISN).
Basikal tersebut dianggarkan bernilai RM385,800 sebuah, difahamkan tampil dengan teknologi tinggi yang telah dinaik taraf bagi mencari ‘kelebihan kecil’ di atas trek sekali gus meningkatkan peluang Malaysia untuk mendapatkan pingat.
Basikal tersebut akan mula digunakan jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom serta Nurul Izzah Izzati Mohd Asri apabila menyertai latihan di Belgium pada bulan ini dan Sepanyol pada Julai sebelum terbang ke Paris.
Mohd Azizulhasni yang teruja dengan perkembangan itu berkata beliau bagaimanapun bersifat terbuka biarpun hanya akan mula merasai pengalaman menggunakan basikal tersebut beberapa minggu sebelum ke Paris.
“Mereka hendak pastikan semuanya dibuat dengan sempurna sebelum basikal itu diserahkan dan saya pun tak tergesa-gesa sangat sebab masih ada basikal yang sebelum ini untuk digunakan. Tetapi kebiasaannya basikal baharu ini akan dicuba satu bulan sebelum ke Olimpik iaitu di Sepanyol dan Belgium nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Team MAS sempena Sukan Olimpik Paris 2024 di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini hari ini.
Skuad berbasikal trek difahamkan akan menerima lima buah basikal berteknologi tinggi itu dengan Mohd Azizulhasni dan Shah Firdaus masing-masing menerima dua manakala Nurul Izzah sebuah untuk digunakan di Velodrome de Saint-Quentin-en-Yvelines nanti.
Mohd Azizulhasni dalam masa sama menepis dakwaan kehadiran basikal baharu tersebut bakal memastikan Malaysia mampu meraih kejayaan diinginkan pada temasya paling berprestij di dunia itu.
“Ini kita panggil teknologi sukan. Sekarang ini, kita sudah sama par dari sudut teknologi dengan mereka. Itu memberikan keyakinan tambahan buat kami apabila mempunyai peralatan yang terbaik,” katanya.
Selain basikal WX-R Vorteq, hand grip juga adalah inovasi yang dihasilkan oleh pihak ISN bagi Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024 melalui penambahbaikan custom made grip bagi sukan memanah. Keselesaan dan manfaat dari grip yang dihasilkan ini dapat memberi keyakinan kepada atlet yang membawa cabaran negara di Sukan Olimpik dan Paralimpik.