KUALA LUMPUR: Sejumlah 117 atlet dipilih menyertai Program Podium di bawah seliaan Institut Sukan Negara (ISN) tahun ini, berbanding 97 atlet tahun lepas, dengan matlamat untuk meraih pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.
Senarai baru berkenaan menyaksikan 33 muka baharu diserap dalam program berprestasi tinggi itu, bagi menggantikan pemain skuasy wanita Delia Arnold dan atlet angkat berat Zulhelmi Md Pisol yang bersara, manakala 12 lagi atlet digugurkan kerana pelbagai faktor.
Antara bintang sukan negara kekal dalam program itu ialah jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei, ratu skuasy Datuk Nicol David, dua penerjun – Pandelela Rinong dan Cheong Jun Heong serta jaguh berbasikal Mohd Azizulhasni Awang.
Atlet paralimpik pula ialah Hasihin Sanawi (memanah), Abdul Latif Romly, Mohamed Ziyad Zolkefli dan Mohamed Ridzuan Mohamad Puzi (olahraga), Jamery Siga (renang), Cheah Liek Hou, Hairul Fozi Saaba dan Madzlan Saibon (badminton).
Pengarah Program Podium Tim Newenham berkata prestasi atlet yang dipilih serta tidak tersenarai dalam program itu akan dikaji dalam tempoh enam bulan bagi memastikan mereka mencapai sasaran, bagi membolehkan pemilihan semula diadakan.
“Pada tahun ini, sebenarnya 180 atlet dicalonkan, namun hanya 117 dipilih. Bagi mereka yang tidak terpilih, pintu tidak tertutup, mereka perlu bersaing, bekerja keras bagi meningkatkan prestasi untuk diserapkan dalam program ini.
“Antara kriteria pemilihan adalah menduduki lapan teratas pada Sukan Olimpik atau Paralimpik baru-baru ini, membuktikan kemampuan untuk meraih pingat pada Sukan Olimpik, Paralimpik, Sukan Asia dan Sukan Komanwel akan datang,” katanya ketika mengumumkan senarai atlet baharu Program Podium di ISN di sini Khamis.
Selain untuk meraih pingat emas pertama Olimpik, program berkenaan juga bermatlamat untuk mencapai kedudukan 10 teratas pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia dan Sukan Asia 2018 di Jakarta.
Antara muka baharu dalam program itu ialah pelumba berbasikal, Muhd Shah Firdaus Sahrom, atlet lompat tinggi Nauraj Singh Randhawa, pemain perseorangan badminton wanita Goh Jin Wei, pemain skuasy S. Sivasangari, Ng Eain Yow dan Delia Arnold, perenang Welsom Sim Wee Sheng dan atlet angkat berat Muhammad Azroy Hazalwafie.
Sementara itu seorang atlet memanah dan empat atlet menembak digugurkan daripada program berkenaan kerana gagal memenuhi kriteria pemilihan, manakala tiga atlet paralimpik berbasikal dan empat atlet paralimpik pelayaran diketepikan kerana sukan berkenaan tidak dipertandingkan pada Sukan Para Asia akan datang.
Ditanya mengapa pemegang rekod kebangsaan 100 meter, Khairul Hafiz Jantan tidak tersenarai, Tim berkata ranking dunia atlet berkenaan di kedudukan ke-122, masih perlu diperbaiki, namun beliau berjanji akan memantau prestasinya untuk diserapkan dalam program itu pada masa akan datang.
Tim berkata tahap prestasi yang meningkat dan kesungguhan yang tinggi dalam kalangan atlet negara adalah antara faktor lebih ramai atlet dipilih menyertai Program Podium tahun ini.
Bagi atlet program ‘Kita Juara’ yang tersenarai dalam Program Podium, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata atlet berkenaan masih tetap akan beraksi pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
“Selain memastikan kita muncul juara Sukan SEA, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) program Kita Juara adalah melahirkan atlet terbaik untuk Program Podium. Sebahagian atlet Program Podium akan beraksi di Sukan SEA…tiada masalah,” katanya.
Sumber : Bernama