100 HARI MENJELANG SUKAN PARA ASEAN 2017: PERSEDIAAN KONTINJEN NEGARA MASUK FASA AKHIR

8 JUN 2017, KUALA LUMPUR: Debaran Sukan Para Asean 2017 kini semakin dirasai kontinjen Paralimpik negara dengan tarikh 9 Jun 2017 esok bakal menyaksikan temasya hanya berbaki 100 hari menjelang pembukaan rasmi pada 17 September 2017.

Ketika ini persediaan atlet para negara sudah masuk fasa terakhir iaitu fasa ketiga dengan 342 atlet disenaraikan dalam 16 jenis sukan.

Semalam berlangsung Majlis Perasmian Kem ‘Kita Juara’ 2017 dan majlis berbuka puasa yang disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dato’ Lokman Hakim Ali di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik di Kampung Pandan Kuala Lumpur.

Selain taruhan emas disandarkan kepada pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Brazil menerusi Abdul Latif Romly, Mohd Ziyad Zolkefli dan Mohamad Ridzuan Puzi, beberapa atlet-atlet paralimpik turut menyimpan azam yang tinggi untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada Sukan Para Asean Singapura 2015.

Bagi Felicia Mikat yang merupakan pemenang tiga pingat emas Sukan Para Asean 2015 dalam acara olahraga kategori T13(masalah penglihatan), harapannya adalah untuk memberikan aksi terbaik tanpa menumpukan impian terlalu tinggi untuk mempertahankan tiga emas yang dimenanginya.

“Sudah pasti saya rasa berdebar apabila kejohanan semakin hampir. Ditambah dengan edisi kali ini berlangsung di tanahair sedikit sebanyak memberi tekanan buat saya. Namun saya tidak terlalu membebankan diri sebaliknya lebih tertumpu menjalani latihan dengan lebih giat untuk mempamerkan aksi terbaik pada September nanti,” kata Felicia.

Sebagai persiapan menjelang temasya Sukan Para Asean 2017, Felicia akan menyertai kejohanan tempatan antaranya Majlis Sukan-Sukan Sekolah Malaysia di Pulau Pinang pada Ogos nanti.

Ketika saingan di Singapura dua tahun lalu, Felicia membuat kejutan memenangi tiga emas dalam acara 100 meter, 200 meter dan 400 meter kategori T13 pada penampilan sulung di Sukan Para Asean ketika berusia 16 tahun.

Dalam pada itu, pemenang pingat perak pada Piala Dunia Powerlifitng Majlis Paralimpik Antarabangsa(IPC) 2016, Mohd Shamil Saad turut menyimpan azam untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi dalam kategori bawah 107 kilogram.

Atlet kelahiran Kuantan, Pahang ini berharap untuk membuat angkatan sekurang-kurangnya 200 kilogram bagi memastikan pingat emas menjadi miliknya.

“Setakat ini latihan yang dikendalian barisan kejurulatihan mempunyai kelainan berbanding sebelum ini kerana cabaran beraksi di depan penyokong sendiri. Malah saya bersyukur kerana dapat mengikuti perancangan jurulatih lebih-lebih lagi bagi membiasakan diri selepas menjalani pembedahan bahu kiri tahun lalu,” kata Shamil.

Sukan Para Asean 2017 di Kuala Lumpur September nanti akan berlangsung pada 17 hingga 23 September 2017 dengan 16 jenis sukan dipertandingkan.