PROGRAM KEMPEN KESEDARAN GANGGUAN SEKSUAL PERINGKAT ISN

13 Mei 2019. Satu lagi inisiatif untuk mencegah gangguan seksual di dalam sukan telah diadakan menerusi Kempen Kesedaran Gangguan Seksual Peringkat ISN anjuran Bahagian Penyelidikan dan Inovasi dengan kerjasama Unit Integriti dan Cawangan Sumber Manusia. Kempen ini dilancarkan dengan mesej “HENTIKAN GANGGUAN SEKSUAL!” oleh YBrs. En. Ahmad Faedzal Bin Md. Ramli, Ketua Pegawai Eksekutif ISN. Tanda pagar #IniBukanGurauan #ItsNotAJoke dipilih berdasarkan kajian yang mendapati kebanyakkan mangsa gangguan seksual di kalangan atlet sering menganggap gangguan seksual sebagai gurauan.

Program ini turut diisi dengan perkongsian kajian oleh seorang pegawai penyelidik, Puan Syarifah Fathynah bt Syed Shiekh, yang menjelaskan mengenai satu tinjauan persepsi staf ISN mengenai gangguan seksual dan hasil kajian terdahulu mengenai gangguan seksual di kalangan atlet. Program turut dipenuhi dengan sesi ceramah yang bertajuk “Gangguan Seksual: OK ke Tak OK?” oleh penceramah jemputan iaitu YBrs. Dr. Sharifah Syahirah bt Syed Shikh dari Kolej Universiti Poly-Tech MARA. Beliau memberi input kepada peserta mengenai bentuk dan jenis gangguan seksual yang sering berlaku di Malaysia serta berkongsi sedikit maklumat berkaitan kajian yang sedang dalam pelaksanaan.

Para peserta turut berkongsi pengalaman dan bersetuju serta mengakui bahawa tugas selaku pengamal sains sukan dan perubatan sukan sangat terdedah kepada risiko berlakunya gangguan seksual. Ianya berlaku samada secara langsung atau tidak langsung kerana banyak aktiviti fizikal dan mental dilakukan oleh staf ISN semasa menjalankan perkhidmatan sains dan perubatan sukan khususnya terhadap atlet dan jurulatih. Perkongsian pengalaman tersebut menggambarkan bahawa pengamal sains sukan dan perubatan sukan mempunyai tugasan yang mencabar untuk memastikan profesionalisme kekal dan tidak menyalahi peraturan.

Sebagai salah sebuah agensi kerajaan, semua staf ISN tertakluk kepada Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (P.U.(A)395/1993) di mana gangguan seksual merupakan salah satu daripada perlakuan yang dilarang dan boleh dikenakan tindakan tatatertib. Justeru, satu garis panduan khusus ISN berkenaan isu berkaitan gangguan seksual perlu diwujudkan untuk memastikan setiap staf ISN dan penerima perkhidmatan atau pemegang taruh dapat bekerja atau menjalani akitviti dengan selamat. Kempen kesedaran ini merupakan satu langkah untuk mencegah daripada berlakunya gangguan seksual di kalangan staf ISN.