Manusia perlu makan dan minum sepanjang hayat mereka untuk kelangsungan hidup. Seseorang atlet memerlukan pemakanan bukan sahaja untuk kelangsungan hidup tetapi diperlukan untuk mengoptimumkan keperluan tenaga, status hidrasi dan makanan tambahan bagi memaksimumkan prestasi.

Mengapa pemakanan prestasi diperlukan?

Keupayaan seseorang individu untuk membuat pilihan makanan dan minuman dalam kuantiti yang betul dan pada masa yang sesuai dengan tujuan untuk memberi tenaga kepada badan bagi mencapai prestasi maksimum adalah kunci kepada pemakanan prestasi.

Atlet perlu makan untuk memberi tenaga semasa latihan dan pemulihan. Mereka juga perlu makan dengan betul semasa perlawanan. Pemakanan atlet juga boleh mempengaruhi penyesuaian latihan, risiko kecederaan dan risiko penyakit.

Oleh itu, pasukan pakar pemakanan dan dietitian di Pusat Pemakanan Sukan, Institut Sukan Malaysia berada di sini untuk menyokong atlet dalam mencapai yang terbaik dengan memberikan perkhidmatan yang berasaskan bukti saintifik dan mengikuti falsafah utamakan makanan.

Matlamat kami:

Untuk menyediakan atlet dengan perkhidmatan pemakanan sukan yang terbaik dan memantapkan pengetahuan mengenai pemakanan sukan.

Kerja kami melibatkan kerjasama antara ahli-ahli sains sukan dan pasukan perubatan, jurulatih dan paling penting adalah atlet supaya kami boleh menawarkan sokongan yang terbaik. Seperti kata pepatah, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.