ISN MENOLAK RASUAH MELALUI IKRAR BEBAS RASUAH

BAGI memastikan ketelusan dan keintegritian dalam memberi perkhidmatan kepada sukan negara, ISN telah mengambil langkah pro-aktif dengan melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) pada 16 April 2019 bertempat di Dewan Perdana, ISN.

Pengisian program dimulakan dengan perkongsian bertajuk Isu & Kesalahan Rasuah yang telah disampaikan oleh Tuan Abu Talib bin Othman, Ketua Cawangan Kerajaan dan Agensi, Bahagian Pendidikan Masyarakat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Kemudian, majlis diteruskan lagi dengan upacara lafaz ikrar yang telah diketuai oleh Encik Ahmad Faedzal bin Md. Ramli, Ketua Pegawai Eksekutif.  Manakala upacara menandatangani sijil ikrar bebas rasuah telah disempurnakan oleh Encik Ahmad Faedzal bin Md. Ramli, Encik Ahmad Zawawi bin Zakaria, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) dan Encik Hasnor bin Abd. Hamid, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan).  Majlis turut disaksikan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Rahmat bin Mohamad, Pengerusi Institut, dan Tuan Abu Talib bin Osman.

Majlis yang berlangsung selama 3 jam itu melibatkan seramai 180 orang staf ISN bagi menzahirkan komitmen dan sokongan ISN terhadap usaha Kerajaan di dalam memerangi rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa di kalangan warga perkhidmatan awam.

Encik Ahmad Faedzal dalam ucapan beliau berkata, adalah harapan beliau agar setiap warga kerja Institut Sukan Negara berpegang teguh kepada amanah yang dipertanggungjawabkan dengan telus, adil dan meletakkan agenda integriti sebagai teras utama dalam pekerjaan.

Turut hadir ialah Ahli-ahli Institut iaitu YBhg. Dato’ Mohd. Nazifuddin Mohd. Najib, Encik Zainal Abas dan wakil Kementerian Belia dan Sukan.

Terima kasih diucapkan kepada semua AJK yang telah terlibat bagi menjayakan majlis ini.

Sekian.

 

Unit Integriti ISN