CABARAN SEORANG DOKTOR PERUBATAN ISN

Mukadimah

Cabaran yang diharungi pegawai Institut Sukan Negara (ISN) bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada atlet dan pasukan negara tidak boleh dipandang remeh.Mereka ini sanggup berdepan apa sahaja cabaran bersama atlet untuk mengejar kejayaan namun tidak ramai yang tidak sedar kewujudan dan peranan mereka ketika kecemerlangan dicapai.

  Dalam ruangan Di Belakang Tabir minggu ini, Wartawan Utusan Malaysia, ZAZALI JAMIAN menemubual pakar Perubatan Sukan ISN, Dr. Jasmiza Khuzairi Jasme yang berkongsi cabaran getir pernah dilalui sebelum kejayaan terhasil.

==============

TUGAS seorang doktor perubatan ISN bukan semudah di sangka malah mereka sering terdedah kepada bahaya biarpun penglibatan golongan ini dilihat sekadar di belakang tabir.Bidang tugas golongan ini tidak seperti doktor perubatan di klinik atau hospital kerana mereka juga perlu turun padang memberikan perkhidmatan kepada atlet dan jika pasukan negara diserang dengan pelbagai provokasi penyokong atau lawan mereka juga turut terkena tempiasnya.Bagi Dr. Jasmiza, dia sendiri pernah dibaling botol, diherdik penyokong lawan malah cuba dihalang daripada menjalankan tugas.Itu semua cabaran getir pernah dilalui Dr. Jasmiza ketika bersama pasukan bola sepak Harimau Muda bimbingan Datuk Ong Kim Swee pada 2011-2017.“Salah satunya ialah ketika kempen Kejohanan Bawah 21 tahun Thanh Nien Newspaper 2012 di Stadium Pleiku, yang menyaksikan Malaysia sedang mendahului kedudukan jaringan manakala tekanan lebih dirasai oleh tuan rumah, Vietnam.“Sewaktu masa sedang menghampiri penamat permainan, ada pemain negara yang terbaring akibat terjahan keras dan saya sebagai doktor memainkan peranan seperti biasa untuk memberikan rawatan kepada pemain berkenaan namun ketika sedang melakukan rutin biasa rawatan, kapten lawan cuba untuk menghalang tugas saya kerana beranggapan saya mahu melengah-lengahkan masa permainan.

“Tidak habis di situ, ketika saya keluar dari padang untuk ke bangku pemain, balingan botol-botol daripada penyokong lawan pula terpaksa saya tempuh, ada antaranya tepat mengenai saya,” kata Dr. Jasmiza.Pengalaman menaiki Barracuda (kereta perisai) bersama pemain Harimau Muda selepas memenangi pingat emas Sukan SEA 2011 juga antara yang akan terus terpahat dalam memori Dr. Jasmiza sepanjang kariernya sebagai doktor perubatan ISN.Ketika itu, pasukan negara berdepan detik cemas menentang Indonesia akibat provokasi daripada penyokong tuan rumah.“Sebelum perlawanan akhir berlangsung bas kami dihalang oleh penyokong yang menyebabkan perjalanan ke Stadium Gelora Bung Karno terganggu malah selepas saingan tamat kami terpaksa pulang menaiki Barracuda atas faktor keselamatan.“Itulah kali pertama saya menaiki Barracuda yang mampu memuatkan enam orang sahaja, keadaan dalam kenderaan berkenaan amat sempit malah sukar untuk bernafas dengan baik.“Semua itu adalah pengalaman yang akan saya ingat sampai bila-bila malah cabaran sebegini menjadikan kami doktor perubatan di ISN sentiasa tahan lasak,” kata Dr. Jasmiza.

Sementara itu, Dr. Jasmiza turut memberitahu antara rawatan kerap ditawarkan kepada atlet yang mengalami kecederaan di ISN ialah suntikan Platelet-Rich Plasma (PRP) bagi mempercepatkan proses pemulihan melibatkan kecederaan otot.“Kebanyakan atlet yang datang mengalami kecederaan otot akan meminta suntikan PRP dan saya akui ia memang berkesan.“Pasukan bola sepak di Eropah seperti Barcelona juga telah menggunapakai kaedah suntikan ini kerana ia boleh mempercepatkan daripada enam bulan kepada empat minggu atau lebih awal bagi kecederaan seperti hamstring,” katanya.Tambah Dr. Jasmiza, hubungan yang baik antara atlet dan jurulatih turut memainkan peranan penting dalam proses rawatan kerana ada rasa percaya antara satu sama lain.Bukan itu sahaja, pengalaman sebagai atlet mampu membantu Dr. Jasmiza memahami kecederaan dengan baik dan jenis-jenis rawatan diperlukan.