‘PEMBUNUH SENYAP'

NurafikaArtikel, Atlet & Jurulatih

photo

Konkusi boleh mengganggu persiapan fizikal, mental dan pencapaian sukan seseorang atlet

Ramai beranggapan bahawa sukan bercorak fizikal seperti ragbi, tinju dan bola sepak mampu menyumbang kepada konkusi (concussion) apatah lagi apabila pemain kerap berdepan dengan insiden pelanggaran, rempuhan atau berlaga baik sesama pemain atau objek di padang.

Impak disebabkan konkusi mungkin tidak menyebabkan kecederaan luaran seperti luka atau bengkak tetapi jika tidak ditangani dengan baik, ia mungkin menjejaskan karier seseorang atlet.
“Konkusi adalah kecederaan otak yang menyebabkan gangguan terhadap fungsi otak,” demikian kata Pakar Perubatan Sukan Pusat Sukan Prestasi Tinggi, Bahagian Podium Institut Sukan Negara (ISN), Dr Azril Syazwan Mohd Ali.

Menurut Dr Azril, ia boleh berlaku apabila mekanisma kecederaan memberi impak secara terus ke bahagian kepala atau tidak terus (melalui gegaran dari bahagian badan yang lain).

Kecederaan ini menyebabkan simptom dan tanda fizikal tertentu, lazimnya tidak melibatkan seseorang atlet itu pengsan dan mempunyai spektrum kecederaan yang lebih luas.

“Konkusi boleh dikesan apabila terdapat simptom dan tanda fizikal selepas impak kecederaan seperti gangguan ingatan, masalah imbangan badan atau perubahan tingkah laku. Ujian imbasan otak selepas konkusi selalunya adalah normal,” kata beliau.
Berikutan itu, masalah utama yang perlu diberi perhatian berkaitan kecederaan konkusi adalah:

  • Risiko kecederaan otak adalah serius dan boleh menyebabkan kematian serta berpotensi meningkatkan enam kali ganda risiko kecederaan yang lain    sekiranya masih meneruskan aktiviti selepas mengalami konkusi.
  • Kadar kesederaan yang rendah di kalangan masyarakat untuk mengenalpasti tanda-tanda konkusi apabila ia berlaku.
  • Kadar pengetahuan dan kemahiran yang rendah termasuk dalam kalangan pengamal perubatan untuk menguruskan kecederaan konkusi.
  • Kesan jangka panjang yang menyebabkan potensi masalah neurologi serius disebabkan konkusi berulang masih tidak diketahui secara mendalam.
  • Selain mengancam keselamatan dan kesihatan atlet, konkusi boleh mengganggu persiapan fizikal, mental dan pencapaian sukan.

Apa yang pasti menurut Dr Azril, aktiviti sukan menyumbang satu daripada lima kes kecederaan berkaitan konkusi yang membabitkan kemasukan ke hospital.

“Hampir setiap sukan boleh menyumbang kepada kecederaan disebabkan elemen sentuhan (contact) yang berlaku dalam mekanisma kecederaan sukan,” katanya.

Jelasnya sukan paling berisiko untuk kecederaan konkusi membabitkan sukan tempur (contoh tinju dan taekwondo), rempuhan ( American football dan ragbi) dan berimpak tinggi (berkuda dan permotoran).
“Walaubagaimanapun, risiko kecederaan konkusi adalah lebih luas, bukan sahaja boleh berlaku semasa pertandingan malah boleh berlaku semasa sesi latihan. Malah, risiko kecederaan konkusi turut merangkumi semua peringkat umur atlet dan pelbagai keadaan penyeliaan permainan,” kata Dr Azril.