LATIHAN MELAMPAU – PERLU SEIMBANG

NurafikaAtlet & Jurulatih, Berita

 

  • Atlet harus patuhi jadual ditetapkan jurulatih untuk elak kecederaan sewaktu latihan

Berjaya atau tidak seseorang atlet banyak bergantung kepada kesungguhan mereka menjalani sesi latihan secara sempurna saban hari. Secara asasnya, latihan berfungsi untuk membiasakan tubuh bagi menghadapi tekanan yang berlaku sewaktu pertandingan.

Secara tidak langsung, kelebihan itu diperlukan supaya tubuh menjadi lebih cergas selain meningkatkan prestasi dan sudah pasti latihan secara sempurna mampu melindung seseorang atlet daripada mengalami kecederaan.

Namun bagaimana pula jika latihan diharapkan bertukar menjadi mimpi ngeri apabila atlet mengalami kecederaan tanpa diundang?

“Kecederaan sewaktu latihan adalah sesuatu yang lumrah dalam kehidupan atlet tapi boleh dicegah,” kata Pakar Perubatan Sukan Pusat Sukan Prestasi Tinggi Bahagian Podium Dr Azril Syazwan Mohd Ali.

Namun membincangkan isu kecederaan semasa latihan yang dihadapi seseorang atlet, keperluan atlet dilihat berbeza dengan semakin tinggi peringkat pembabitan mereka, lebih banyak masa dan tenaga dihabiskan sewaktu berlatih.

Di ISN sendiri atlet dibahagikan kepada tiga kumpulan membabitkan Program Podium, Kita Juara dan Pelapis, yang secara puratanya mempertuntukkan masa empat hingga lima jam sehari, sehingga lima hingga enam hari seminggu untuk sesi latihan.

Jelasnya, atlet menjalani latihan sekurang-kurangnya tiga bulan atau lebih daripada itu sebelum bertanding dan biasanya beban dilalui sewaktu latihan diprogramkan lebih tinggi daripada beban sewaktu pertandingan.

“Pada peringkat fasa awal latihan diadakan untuk menyediakan tubuh dengan conditioning tapi sebaik memasuki fasa lanjutan, suasana menjadi lebih berat dan ada kemungkinan berdepan risiko kecederaan,” kata Dr Azril.

Dalam tempoh persediaan yang panjang itu, atlet terdedah kepada risiko kecederaan disebabkan impak fizikal dan mental yang tinggi, berulang-ulang dan progresif.

“Tidak hairan jika atlet kerap mengadu sakit atau cedera sebelum pertandingan yang mungkin menjejaskan potensi untuk membabitkan diri dalam kejohanan dan meraih kemenangan.”

Malah menurut beliau kebanyakan atlet yang beraksi di Sukan Olimpik Rio ‘membawa’ kecederaan tetapi tidak sampai mengganggu kemampuan mereka beraksi cemerlang sewaktu pertandingan.

Justeru menurut beliau kecederaan menerusi latihan boleh dicegah dengan mengambil langkah sesuai bagi mengelakkannya daripada berlaku.

Menurut beliau, atlet termasuk juga atlet rekreasi perlu menitikberatkan soal latihan kerana ia menyediakan fizikal dan mental yang sesuai untuk membabitkan diri dalam sukan, sekali gus membantu mengelakkan kecederaan.

Apa yang pasti menurut beliau, berdasarkan kajian, walaupun kadar kecederaan sewaktu latihan tidak sekerap berbanding sewaktu pertandingan tetapi pada masa sama kecederaan sewaktu latihan dilaporkan menyebabkan purata kehilangan masa bermain (lost time) lebih tinggi dan kadar kecederaan berulang (recurrence) lebih teruk (severe) di kalangan atlet.

Kajian menunjukkan kadar kecederaan sewaktu latihan bersifat ‘dose related’ dengan semakin banyak latihan, semakin besar risiko untuk menghadapi kecederaan.

“Kadar tertinggi kecederaan dan masalah kesihatan banyak dilaporkan berlaku dalam fasa beban latihan yang tinggi. Sebagai contoh dalam sukan ragbi professional, kajian menunjukkan latihan berterusan empat minggu berturut-turut, akan mempunyai kadar kecederaan yang meningkat secara berganda,” katanya.

Dalam hal ini menurutnya, jurulatih perlu menilai sama ada pasukan itu perlu berlatih secara berterusan kerana lebih berat latihan, risiko kecederaan juga meningkat sekiranya latihan kekuatan atau kuasa (power training) dilakukan terlalu tinggi, ia boleh membawa kepada kecederaan di padang atau gelanggang.

Faktor lain yang perlu diambil kira adalah ketidakseimbangan beban luaran dan dalaman yang ditanggung atlet kerana boleh menyebabkan kegagalan tubuh berfungsi dengan baik dan mengganggu proses penyembuhan dalam latihan.

Beban ini menurutnya membabitkan aspek keletihan, terlalu berlatih (over reaching) dan tidak mahu meluangkan lebih masa untuk berehat dengan betul sebaliknya terus berlatih dengan kecederaan yang belum sembuh sepenuhnya.

“Sebagai contoh, atlet tidak mahu menghabiskan banyak masa untuk melakukan fisioterapi, apabila dilanda kecederaan dan mahu segera kembali berlatih, ini akan menghalang tisu untuk sembuh dengan baik.

“Ada pula atlet yang terlalu berlatih dan tidak berehat dengan betul sepanjang waktu rehat diperuntukkan, sekali gus menambah beban kepada tisu badan.

“Sekiranya berlarutan dalam jangka masa lanjang, ia boleh menjurus kepada sindrom overtraining (latihan melampau) di mana peningkatan beban yang tinggi menyebabkan penurunan prestasi yang ketara termasuk manifestasi klinikal.

“Kebiasaannya kecederaan tisu secara tanpa sedar yang akhirnya menjadi kecederaan yang mempunyai simptom, rasa sakit, bengkak, susah nak bergerak dan menghalangnya daripada berlatih atau bertanding. Sindrom ini juga boleh meningkatkan kelesuan badan dan menyebabkan masalah kesihatan.”

Sebaliknya, situasi tidak cukup latihan (under training) juga boleh menyebabkan kecederaan disebabkan kecederaan disebabkan beban latihan meningkat daripada apa yang disasarkan sewaktu latihan.

Menurut beliau, berdasarkan kajian terhadap atlet kriket, atlet yang berlatih dengan balingan yang kurang daripada sasaran setiap minggu dan mereka yang menjalani tempoh berehat lebih lama dikaitkan dengan peningkatan risiko kecederaan.

“Justeru dalam hal ini, latihan perlu dijalani secara seimbang tidak boleh terlebih atau terkurang berdasarkan kemampuan individu. Perkara ini juga relevan terhadap atlet rekreasi di mana mereka perlu berlatih secukupnya sebelum bermain bagi mengelak kecederaan.” – Harian Metro (31-12-2016)