Layanan istimewa untuk atlet Rio‬

KUALA LUMPUR – Pengarah Program Podium, Tim Newen­ham memberi jaminan atlet yang telah layak ke Sukan Olimpik 2016 tetapi tidak berada dalam senarai program tersebut tetap akan mendapat layanan sama rata kecuali elaun.

Kata Newenham, semua atlet tersebut tidak perlu bimbang berhubung persediaan mereka untuk ke Sukan Olimpik di Rio kerana segala perkhidmatan yang terbaik akan diperoleh daripada pasukan Program Podium.

Bagaimanapun jelas Newenham, atlet tersebut tidak boleh dimasukkan ke dalam Program Podium secara automatik berikutan perlu memenuhi kriteria yang telah ditetapkan.

“Kriteria ini telah ditetapkan dan perlu dipenuhi andai mahu menyertai Program Podium, buat masa ini sudah ada 97 atlet dalam 21 jenis sukan disenarai dalam program ini.

“Mungkin pada masa hadapan kriteria ini akan ditambah baik untuk memberi peluang atlet yang telah layak ke Sukan O­limpik menyertainya, cuma buat masa ini mereka akan mendapat kemudahan sama sehingga berakhirnya Sukan Olimpik 2016.

“Bagi elaun pula, jumlah yang diterima atlet dalam Program Podium adalah berbeza kerana mereka dipilih berdasarkan kriteria ditetapkan dan atlet yang telah layak ke Sukan Olimpik ketika ini tetapi tiada dalam senarai program tidak boleh mendapat elaun yang sama kecuali jika berjaya memenuhi kriteria ditetapkan,” ka­ta Newenham ketika ditemui pada Sambutan Hari Belia Negara 2016 Pe­ringkat Institut Sukan Negara dan Majlis Sukan Negara, hari ini.

Misi utama Program Podium adalah untuk mempersiapkan atlet bagi menghadapi Sukan Olimpik 2020 di Jepun dan menelan kos sebanyak RM75 juta setahun.

Kriteria yang ditetapkan untuk menyertai Program Podium adalah mendapat pingat di tiga temasya utama seperti di Olimpik, Komanwel dan Asia.

Antara atlet yang tiada dalam Program Podium tetapi telah layak ke Sukan Olimpik 2016 adalah seperti jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa, penembak negara, Jonathan Wong serta perenang, Welson Sim.

~ Utusan Malaysia