#WINNINGMENTALITY AZIMAT BAHARU SUKAN NEGARA

Nur ZatilBerita

MAIN 1

17 April 2017, Bukit Jalil: ‘Winning Mentality’, pelan strategik jangka panjang sukan berprestasi tinggi baharu yang dicetuskan Menteri Belia dan Sukan,  Brig Jen Khairy Jamaluddin  dalam membentuk bangsa bersukan dengan mengamalkan budaya hanya memburu kemenangan.

Ia menekankan tanggungjawab untuk mensasarkan kemenangan bukan hanya terletak dibahu atlet semata-mata, malah individu-individu yang berada di sekitar ekosistem sukan turut bertanggungjawab mengamalkan budaya ‘Winning Mentality’ menerusi cara berfikir dan tindakan.

Budaya ‘Winning Mentality’ disasarkan kepada keseluruhan pemegang taruh seperti jurulatih, pasukan sokongan, persatuan-persatuan sukan, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara, Majlis Olimpik Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pengajian TInggi dan agensi-agensi berkaitan.

Ia dihasilkan secara spesifik untuk atlet berdepan kejohanan kompetitif di peringkat antarabangsa seperti Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan Olimpik bermula tahun 2017 hingga 2028.

Majlis memperkenalkan konsep ‘Winnning Mentality’ disempurnakan Khairy di Bukit Jalil siang tadi yang dihadiri barisan atlet Program Podium termasuk atlet paralimpik, barisan kejurulatihan dan pegawai-pegawai sukan.

Bagi peringkat awal konsep ‘Winning Mentality’ diperkenalkan kepada atlet-atlet dan jurulatih dibawah Program Podium terlebih dahulu menerusi bengkel yang diadakan di Dewan Komanwel, Bukit Jalil dengan mengangkat tema ‘Strength and Honour’.

“Konsep ‘Winning Mentality’ adalah kritikal dalam budaya sukan di Malaysia dimana ia tidak boleh dirunding. Kita mahu wujudkan negara dan sistem sukan bertaraf dunia dimana atlet negara mempunyai mentaliti hanya nak menang dalam sesuatu kejohanan sehingga tahap mensasarkan untuk menjadi pemenang pingat emas di Sukan Olimpik,” kata Khairy.

Bagi atlet negara, budaya ‘Winning Mentality’ ini bukan hanya perlu diamalkan di dalam padang, malah perlu diaplikasikan di luar padang termasuk dalam kehidupan seharian atlet meskipun sehingga mereka bersara dari bidang sukan.

Bagi ratu terjun negara, Pandelela Rinong konsep ‘Winning Mentality’ ini memberi satu dimensi baharu buat atlet.

“Saya rasa perancangan masa depan saya lebih cerah kerana setiap individu yang terlibat perlu mempunyai misi sendiri dan bekerjasama sebagai satu pasukan untuk merealisasikan misi tersebut. Ia melonjakkan semangat saya untuk merangka perancangan masa depan yang lebih terancang,” kata Pandelela.

Bagi pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016, Muhammad Ziyad Zolkefli, konsep ini memberi satu nafas baharu dalam diri setiap atlet untuk lebih optimis dan bersemangat tinggi.

“Konsep ‘Winning Mentality’ ini menggalakkan kejayaan secara holistik bagi seseorang atlet iaitu bermula dari peringkat akar umbi, ketika masih aktif sehingga kerjaya selepas bergelar atlet. Ini memberi satu semangat baharu kepada saya untuk meningkatkan kekuatan diri dalam membawa nama negara di pentas antarabangsa”, kata Ziyad.

Antara penceramah yang menjadi tumpuan dalam bengkel ‘Winning Mentality’ adalah pakar psikologi sukan dari Wales, Dr. Ian Mitchell yang bertanggungjawab keatas pasukan bola sepak kebangsaan Wales.

“Winning Mentality amat penting kerana ia berkaitan strategi, taktikal, fizikal dan melibatkan skop besar permintaan psikologi dalam sesebuah sukan. Ia menekankan kekuatan aspek mental dan cara bagi atlet bertindak balas bermula dari peringkat akar umbi sehingga skuad kebangsaan,” kata Dr. Ian Mitchell.

Pelan strategik ‘Winning Mentality’ belum dilancarkan secara rasmi kepada umum. Ketika ini ia tertumpu kepada proses pengenalan kepada atlet, jurulatih dan pegawai sukan menerusi sesi ceramah dan bengkel sebelum dilancarkan secara rasmi sekitar bulan Oktober tahun ini.