Bagaimana mereka dapat memastikan program yang diterima itu adalah tepat? Di sinilah pentingnya peranan fisiologi senam yang akan mengesan segala kelebihan serta kekurangan atlet menerusi beberapa perkara seperti tabiat tidur, berat badan dan ujian kecergasan.

Bagi melihat secara lebih jelas pendekatan yang digunakan, wartawan Utusan Malaysia, NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR menemu ramah Ketua Pusat Fisiologi Senam Insitut Sukan Negara (ISN), TEY WOAN JIN untuk melihat proses yang perlu dilalui setiap atlet mengikut sukan masing-masing.

REHAT dan tidur yang cukup bukan sahaja penting dari segi kesihatan, malah mampu menentukan ‘mood’ seseorang dalam memulakan hari mereka.

Bagi ahli sukan, rehat dan tidur elemen paling mustahak kerana selain menaikan ‘mood’, ia juga mampu membantu proses pemulihan mereka, selain meningkatkan tahap kecergasan.

Di Pusat Fisiologi Senam Insitut Sukan Negara (ISN) pula, tabiat tidur atlet antara elemen yang diambil kira dalam menentukan program terbaik bagi meningkatkan prestasi atlet.

Menurut Woan Jin, setiap atlet yang memasuki pusat berkenaan akan ditanya beberapa soalan berkaitan gaya hidup, termasuk tabiat tidur sebelum menjalani siri ujian kecergasan.

“Ujian kecergasan bergantung kepada sukan yang disertai atlet kerana setiap sukan mempunyai keperluan berbeza, keputusan ujian tersebut pula akan menentukan program senaman terbaik untuk mereka,” katanya.

Menurut Woan Jin, program senaman ini penting kerana mampu membawa perubahan kepada fizikal atlet dan dapat memastikan mereka melakukan persiapan yang tepat untuk menghadapi kejohanan.

“Perubahan terhadap keadaan fizikal boleh dilihat selepas menjalani beberapa siri senaman yang disediakan, mungkin dalam empat minggu kita boleh lihat aerobik atlet akan jadi lebih tinggi, ketumpatan otot akan bertambah.

“Macam badminton, degupan jantung atlet akan meningkat sehingga 80 ke 90 peratus berbanding biasa, jadi semasa latihan, mereka perlu capai kadar itu bagi membolehkan mereka berada setara dengan tahap pertandingan.

“Objektif utama adalah untuk memenuhi standard pertandingan, kita akan lihat sama ada ia mencukupi atau tidak dan selepas enam hingga lapan minggu kita akan buat penilaian semula jika mereka tidak mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya.

Woan Jin memberitahu, perubahan hormon juga akan diberi penilaian kerana boleh menentukan sama ada atlet terlibat berjaya mendapatkan rehat yang cukup atau sebaliknya.

“Cortisol dan testosterone kebiasaannya dilihat pada hari Isnin kerana Ahad mereka dapat rehat yang cukup tetapi jika nisbah kedua-duanya tidak seimbang, ini memberi gambaran mereka belum cukup cergas,” katanya.

Bagaimanapun, Woan Jin memberitahu, perubahan tahap kecergasan dalam kalangan atlet elit tidak menunjukkan peningkatan luar biasa kerana mereka menjalani latihan setiap hari ini namun memberi kesan besar semasa pertandingan.

“Memang tidak besar perubahan yang ditunjukkan tetapi kesan sangat besar semasa pertandingan.

“Kami juga akan cuba semua cara dan kaedah yang bersesuaian untuk mereka,” katanya.

Dari segi pemulihan, katanya, Pusat Fisiologi Senam ISN akan melihat kaedah yang paling sesuai dengan keadaan fizikal atlet serta sukan mereka kerana pelbagai pilihan disediakan.

“Kami memiliki strategi pemulihan terbaik buat setiap atlet.

“Di sini turut menggunakan terapi hidro iaitu rendaman air panas dan sejuk serta terapi kryo (bilik sejuk) yang menggunakan suhu -110 darjah celcius selama tiga minit untuk mengurangkan keradangan selain mempercepatkan proses pemulihan,” katanya.