Mukadimah

============

Penyediaan program latihan khusus sangat diperlukan bagi setiap atlet dalam memastikan mereka benar-benar bersedia untuk mencapai sasaran prestasi yang ditetapkan bagi setiap pertandingan yang disertai.

Bagaimanapun, proses integrasi perkhidmatan sains sukan untuk dijadikan satu pakej perkhidmatan latihan lengkap adalah sesuatu proses yang kompleks khususnya melibatkan sukan-sukan yang di nilai subjektif kerana ia sama sekali berbeza dengan sukan yang melibatkan penilaian secara objektif seperti olahraga (masa,jarak), berbasikal (masa) dan hoki (jaringan).

Dalam ruangan Di Belakang Tabir kali ini, wartawan Utusan Malaysia, NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR meluangkan masa untuk menemu bual Ketua Cawangan Prestasi Tinggi Institut Sukan Negara (ISN), Mohamad Fawwaz Jamal bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai perancangan perkhidmatan sains sukan bagi sukan-sukan subjektif.

================================

Cawangan Prestasi Tinggi ISN merupakan entiti yang bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan sains sukan yang lengkap kepada atlet-atlet berlandaskan kepada lima aspek utama iaitu biomekanik dan analisis prestasi, pemakanan, psikologi, fisiologi senam serta suaian fizikal. Di bawah cawangan prestasi tinggi terdapat tujuh (7) pusat kumpulan sukan (Pusat Sukan Akuatik, Pusat Sukan Berpasukan, Pusat Sukan Kemahiran, Pusat Sukan Tempur, Pusat Sukan Kekuatan dan Daya Tahan, Pusat Sukan Raket dan Pusat Sukan Para) yang bertanggungjawab dalam melaksanakan serta memantau perlaksanaan pelan perkhidmatan sains sukan

Mohammad Fawwaz berkata, pihaknya merancang serta memantau pelan perkhidmatan sukan berprestasi tinggi kepada setiap sukan dan atlet bagi memastikan atlet dapat mencapai sasaran yang ditetapkan dengan sistem kawalan perkhidmatan spesifik.Bagaimanapun, dia memberitahu, penyediaan perkhidmatan paling kompleks adalah bagi sukan-sukan yang menggunakan sistem penilaian secara subjektif seperti gimnastik, gimrama, silat, terjun dan beberapa sukan lain kerana tiada satu penanda aras khusus di peringkat antarabangsa dari segi pemarkahan atau penilaian untuk dijadikan panduan kepada mereka.”Dalam bahasa mudah, kami menyediakan perkhidmatan secara integrasi dengan merangkumkan kesemua lima aspek utama yang memenuhi keperluan kritikal bergantung kepada jurang prestasi atlet itu sendiri.

“Atlet-atlet ini perlu menjalani beberapa siri ujian terlebih dahulu dan selepas itu perkhidmatan khusus akan disediakan untuk mereka berdasarkan keperluan peningkatan prestasi.”Kami perlu merangka program khusus merangkumi pelbagai perkara termasuk kawalan berat bedan, penyediaan makanan tambahan sekiranya diperlukan, cara mengurangkan risiko kecederaan melalui strategi pemulihan, peningkatan tahap kecergasan melalui penyediaan program latihan bebanan dan sebagainya,” katanya.Katanya, perkhidmatan bagi sukan subjektif sememangnya sukar untuk dijustifikasikan kerana semua pihak terlibat mengetahui keperluan sukan itu dari segi pemarkahan serta turut melibatkan penilaian terakhir daripada pihak juri.

“Kita ambil contoh silat, sistem pemarkahan sudah diketahui tetapi keputusan pemarkahan ditentukan oleh lima wasit yang bertugas dengan kesemua mereka memiliki sudut pandang berbeza.”Kami ada pegawai analisis prestasi, berdasarkan analisis yang dilakukan kita rasakan setiap serangan boleh menghadirkan mata namun jika wasit kata tidak, maka tiada mata akan diberikan,” katanya.Mohammad Fawwaz berkata, dalam sukan subjektif seperti itu, usaha memperbaiki teknik, memperkuatkan fizikal dan segala yang melibatkan atlet boleh dilakukan sebaik mungkin tetapi elemen-elemen teknikal semasa pertandingan sukar untuk ditentukan.

“Sama seperti terjun, sebagai contoh, terjunan yang dilakukan semasa Sukan Olimpik Rio mampu menghasilkan pingat gangsa tetapi dengan teknik terjunan yang sama di Kejohanan FINA (Siri Terjun Dunia) mungkin tidak mampu menghasilkan sebarang pingat atau markah yang sama kerana keputusan juri pertandingan sukar untuk ditentukan.”Ada yang mengatakan terjunan atlet China adalah lebih baik kerana mereka berjaya meraih pingat dan mereka perlu dijadikan sebagai penanda aras, mungkin hakikatnya terjunan atlet kita lebih baik tetapi juri melihat dari sudut berbeza, jadi sukan-sukan seperti ini sukar untuk diukur secara saintifik dari segi pemarkahan,” katanya.

Selain itu, Mohammad Fawwaz memberitahu, pihaknya juga memainkan peranan dalam merancang, menyelaras dan memantau penyampaian perkhidmatan di bawah cawangan mereka kepada setiap atlet yang ada di bawah program latihan kebangsaan termasuk atlet pelapis.Mereka juga memainkan peranan penting dalam menyediakan pelan perkhidmatan untuk program sukan-sukan utama termasuk Sukan SEA 2019, Komanwel, Sukan Asia dan Sukan Olimpik Tokyo 2020.